photo image001kf1js1.gif photo pen-dance.gif

Selasa, 20 Mei 2014

NILAI INTRINSIK DALAM KHOJA MAIMUN

Nilai intrinsik dalam sesebuah karya sastera ialah segala sesuatu yang berhubungan dengan aspek-aspek yang ikut membangunkan karya-karya sastera tersebut. Antaranya yang terpenting ialah tema dan persoalan, alur atau plot, watak dan perwatakan serta latar.

(a)    Tema dan Persoalan
Aspek ini merupakan suatu yang paling penting dalam sebuah ciptaan hasil sastera. Tanpanya hasil tersebut dianggap tidak berfungsi dan bermakna. Tema adalah wawasan utama yang ingin disampaikan oleh pengarang, sedangkan persoalan adalah aspek-aspek lain yang mengelilingi wawasan utama tersebut. Kesemua aspek yang berkaitan dengan persoalan ini dapat dikembalikan semula kepada wawasan utama. Dengan perkataan lain, persoalan-persoalan ini dapat dianggap sebagai memperkukuh wawasan utama atau dikenal sebagai tema tadi.
            Hikayat Khoja Maimun ini menampilkan tema utamanya tentang pentingnya nilai etika yang harus diutamakan oleh seseorang khususnya kaum wanita. Pengarang hikayat ini memilih burung Bayan sebagai juru cakap untuk menyampaikan kritik dan nasihat kepada kaum wanita yang perlu menjaga maruah apabila ditinggalkan oleh suaminya ketika bermusafir atau berniaga. Bibi Zainab, isteri kepada Khoja Maimun dalam hikayat ini, hampir melakukan maksiat semasa suaminya berdagang ke luar negeri.
Ternyata peribadi Bibi Zainab dapat dibentuk oleh kebijaksanaan dan baik budi burung Bayan yang menuturkan berbagai-bagai cerita sehingga dapat melalalaikan Bibi Zainab dalam menahan nafsu berahinya terhadap anak raja yang cuba menggodanya.
Tarasa kepada kita adanya pesanan agar kaum lelaki berhati-hati meninggalkan isteri kesepian dan sendirian. Usaha Khoja Maimun keluar berniaga bagi mencari kekayaan adalah suatu usaha yang baik, tetapi meninggalkan isteri yang masih muda dan baru dinikahi adalah suatu hal yang kurang rasional. Mesej yang ingin disampaikan oleh Hikayat Khoja Maimun ini adalah tentang bahayanya memiliki wajah yang cantik jika tidak diiringi peribadi yang kukuh. Kejelitaan Bibi Zainab dapat menambat hati anak raja yang memandang wajahnya, tetapi kerana kelemahan peribadinya dia terus sahaja jatuh cinta tanpa memikirkan risikonya. Mujurlah beberapa cerita yang disampaikan oleh Bayan dapat mengubah sikapnya. Di sini kita dapat merungkaikan mesej selanjutnya bahawa peribadi seseorang dapat dibentuk melalui hasil-hasil sastera, khususnya cerita-cerita yang disampaikan melalui lisan. Dengan erti kata lain, peranan penglipur lara dalam sesebuah masyarakat ternyata cukup penting.
Di samping itu, terdapat juga pesanan bahawa proses perubahan sikap harus dilalui secara bertahap, dan cara penyampaian kritik atau nasihat pula tidak boleh dilakukan secara langsung. Jelasnya ia hendaklah disampaikan secara lembut dan berdiplomasi kerana dengan cara demikian ia mudah diterima. Teknik pengajaran yang kurang berdiplomasi bukan sahaja diterima, malah boleh mendatangkan mudarat. Apa yang dilakukan oleh Bayan adalah lebih selamat jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh Tiung. Ternyata Tiung telah menjadi mangsa dan dibunuh oleh Bibi Zainab kerana nasihatnya disampaikan secara langsung, sedangkan burung bayan menyampaikan nasihatnya secara terselindung melalui cerita-ceritanya. Sebagai contoh, Bayan telah menceritakan pembalasan terhadap isteri yang curang, yang ditujukan bukan kepada Bibi Zainab, tetapi kepada Siti Saidah dalam cerita sabur. Apa yang ditekankan di sini ialah pembalasan atas kecurangan yang dilakukan oleh seorang perempuan.
Kebijaksanaan bayan cukup seimbang dan terkawal kerana ia tidak sahaja menceritakan kecurangan seorang perempuan, tetapi menceritakan pula tentang kebaikan serta ganjaran seorang isteri yang jujur dan berakhlak mulia. Bayan memberikan contoh Husna dalam cerita Siti Husna, yang amat teguh kesetiaannya walaupun mendapat ujian, cubaan dan godaan sehingga akhirnya dia menjadi raja. Suatu keistimewaan yang dapat kita lihat dalam Hikayat Khoja Maimun ialah unsur moral yang dipaparkan melalui cerita-cerita sisipannya berdasarkan pengajaran akhlak yang berlunaskan islam. Justeru itu, terdapat firman Allah yang dipetik daripada al-Quran, juga hadis-hadis nabi dan undang-undang agama yang menyentuh soal-soal perkahwinan serta hukuman terhadap orang yeng melakukan jenayah.
Selain tema berhubung wawasan terhadap etika dan pendidikan moral, hikayat ini turut memaparkan persoalan-persoalan tentang kesabaran dan kesetiaan yang dapat membantu seseorang dalam menghadapi dugaan hidup. Orang yang sabar dalam menghadapi dugaan dan pancaroba akan mendapat perlindungan daripada Allah. Kisah Bibi Sabariah yang diceritakan oleh Bayan kepada isteri Khoja Maimun dapat dijadikan contoh yang baik, iaitu berkat kesabaran dan ketulusan hati Sabariah, raja tidak jadi mengahwininya, sebaliknya dia dianggap sebagai ibu oleh raja tersebut kerana ketelanjuran baginda mengakui Sabariah sebagai ibu baginda.
Kita temui juga gambaran tentang peribadi kaum wanita yang biasanya kurang peka, emosi dan terlalu mengikut perasaan. Bayan telah menuturkan kisah Puteri Kamariah yang telah mendesak Raja Gementar Syah mencari buah asam walaupun sebelum itu Perdana Menteri Qias telah mencarinya di merata tempat. Sikap terburu-buru menyebabkan Puteri Kamariah tidak dapat mengenali suaminya.
Hukum syarak dalam hikayat ini banyak memfokuskan kaum wanita. Dikatakan kaum wanita yang derhaka kepada suami akan dilaknat kepada Allah.  Nyawa wanita yang curang akan dicabut dengan kasar oleh Malaikat Izrail. Rohnya sentiasa dirantai dan dipalu oleh Malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. Pada hari kebangkitan, matahari akan menyinari dirinya sehingga otaknya mendidih di padang mahsyar. Darjat wanita yang menduakan suaminya jauh lebih rendah daripada wanita lain di dalam syurga. Orang yang berakhlak mulia tetapi teraniaya akan mendapa pertolongan daripada Allah. Hidupnya tidak akan terbiar dan doanya sentiasa dimakburkan Allah. Bayan telah menuturkan kisah seorang suami yang sanggup memberikan separuh daripada umurnya kepada isterinya yang dapat keluar daripada sebuah pulau dengan pertolongan seorang nakhoda kapal. Dengan pertolongan Allah, si suami dapat menemui isterinya semula, tetapi si isteri telah berubah sikap dan mencercanya. Allah telah memperkenankan doanya , separuh umur yang diberikan kepada isterinya dahulu dikembalikan semula oleh Tuhan kepada suaminya. Isterinya tiba-tiba sahaja mati.
Demikianlah beberapa tema dan persoalan yang dapat dikesan daripada sebahagian cerita dan peristiwa baik dalam cerita dasar mahupun cerita-cerita sisipan seperti yang telah diceritakan oleh Bayan kepada isteri Khoja Maimun iaitu Bibi Zainab. Antara pesanan yang dijadikan pedoman ialah seseorang yang berkelakuan baik akan memperoleh ganjaran yang baik sejak di dunia lagi, sementara seseorang yang buruk moralnya akan mendapat balasan yang setimpal, kecuali dia segera insaf dan bertaubat. Dengan cara demikian dia mendapat kedudukan yang baik di mata masyarakatnya.


(b)   Alur Cerita
Alur adalah susunan peristiwa yang sifatnya bersambung berdasarkan hukum sebab dan akibat. Susunan ini bertujuan supaya terasa kesatuannya, menarik dan tidak kaku. Meskipun Hikayat Khoja Maimun ini merupakan sebuah karya tradisional, tetapi setiap peristiwa yang disusun oleh pengarangnya terasa kesinambungannya, bahkan pada tempat-tempat tertentu dapat dikesan adanya unsur saspens, klimaks dan peleraiannya.
            Hikayat ini dimulakan dengan pengenalan kepada watak-watak utamanya iaitu Khoja Maimun, Bibi Zainab, burung Bayan, burung Tiung dan anak raja. Pemergian Khoja Maimun belayar meninggalkan isterinya merupakan permulaan berkembangnya alur cerita ini. Kemudian diikuti munculnya peristiwa anak raja yang datang berkuda datang ke rumah Khoja Maimun lalu bertatapan muka dengan Bibi Zainab yang kebetulan berada di jendela rumahnya. Mereka terus jatuh cinta pada pandangan pertama itu. Melalui perantaraan seorang perempuan tua, mereka benjanji akan bertemu bagi melepaskan rindu masing-masing.
            Sebagai pembaca, kita akan tertanya-tanya sama ada Bibi Zainab berjaya menjumpai anak raja atau tidak. Nasihat Tiung menimbulkan kemarahan Bibi Zainab. Tiung dihempas sehingga mati. Di sini, alur cerita mula mendaki ke arah saspens. Pembaca tentu memikirkan Bibi Zainab akan akan mengarahkan pertanyaan kepada Bayan dan kemungkinan Bayan pun akan menerima nasib yang sama. Tetapi pengarang cerita ini amat pandai merangkai peristiwa berikutnya. Perbuatan Bayan yang berpura-pura tidur, seolah-olah tidak mengetahui kematian Tiung tadi terasa dapat mengendurkan suasana saspens atau tegang yang kita rasakan.
Ada kalanya kita lihat bahawa Bayan seolah-olah menyokong kehendak Bibi Zainab, tapi ada antara kata-kata Bayan, kita rasa boleh menimbulkan kemarahan Bibi Zainab, contohnya dalam ayat: “...apakah yang dicari oleh manusia di dalam dunia ini melainkan martabat, kekayaan, harta dan kejayaan?” Kalau Bibi Zainab tersalah anggap kata-kata tersebut, sudah tentu Bayan akan menerikma padah seperti Tiung juga. Tetapi pengakuannya membela Bibi Zainab dengan katanya “...jikalau kejahatan sekalipun pekerjaan tuan insyaAllah hamba membaikkan dia”, menolak segala kemungkinan itu. Kata-kata Bayan ini terasa bagai penyembuh kemarahan Bibi Zainab, dan hal ini tentu sudah dicerna oleh Bayan kerana ia adalah burung bijaksana, lalu ia pura-pura menyuruh Bibi Zainab dengan berkata: “...baiklah tuan segera pergi mendapatkan anak raja tetapi dengan ikhtiar juga...”
            Seperti yang telah disebut sebelum ini, cerita-cerita sisipan dalam lingkungan cerita berbingkai dapat pula berdiri sendiri. Justeru itu, setiap cerita mempunyai tema dan persoalan serta alur yang khusus pula. Tetapi tema dan persoalannya tetap berkisar pada masalah pembentukan nilai etika bukan sahaja ditujukan kepada Bibi Zainab malahan ditujukan juga kepada masyarakat umum. Cerita yang disampaikan oleh Bayan bayang menunjukkan kesengsaraan bagi orang yang menduakan suaminya. Ternyata, Bibi Zainab sajauh ini belum tersentuh hatinya. Contohnya apabila disuruh oleh Bayan agar segera pergi menemui anak raja itu, dia segera berjalan, tetapi fajar pagi menjadi penghalang, lalu niatnya terpaksa dibatalkan. Malam berikutnya, Bibi Zainab menyatakan hasratnya sekali lagi kepada Bayan. Ketika itu, Bayan menampakkan simpati seolah-olah ingin menolong Bibi zainab, sama seperti seorang hamba yang bernama Taif yang sangat besar bakti kepada tuannya. Bibi Zainab terpancing lagi dengan helah Bayan yang bijak sana lalu dia meminta Bayan menuturkan ceritanya. Begitulah yang berlaku pada malam-malam yang seterusnya.
            Suatu yang istimewa ialah kepandaian Bayan membaca dan melihat gerak hati Bibi Zainab. Beberapa cerita yang disampaikan mula mendapatkan perhatian Bibi Zainab, bahkan dapat melalaikannya. Pada tahap ini, Bayan tetap menyokong kuat, bahkan ikut membantu Bibi Zainab agar dapat menemui anak raja itu walaupun pada hakikatnya Bayan sedaya upaya menghalang Bibi Zainab daripada berjumpa dengan anak raja itu.
            Pada akhir cerita, pembaca berasa puas kerana tidak terjadi pertemuan antara Bibi Zainab dengan anak raja. Dengan kata lain, Bayan telah berjasa besar kerana dapat menghalang perbuatan sumbang dan terlarang, bahkan sekiranya kedua-dua kekasih itu bertemu, kemungkinan akan berlaku perbuatan zina yang sangat-sangat dilarang oleh agama. Bayan, pada akhir cerita, unggul sebagai unggas yang bijaksana lagi budiman, dan hal ini telah diakui oleh Khoja Maimun sendiri, katanya, “Hai unggas yang bijak, terlalu sekali indah ceteramu ini, sudah membukakan pintu padaku jalan memberi manfaat...dapat menjauhkan mana yang keji berapa lamanya...dapatlah aku memandang mana yang baik dan jahat...lipurlah hatiku akan bapamu yang belayar...”
(c)    Latar Cerita
Latar dalam penciptaan karya sastera tidak kurang pentingnya. Latar menjadi wadah kepada setiap kejadian yang digerakkan oleh semua watak dalam sesebuah cerita. Latar meliputi semua tempat dan masa. Dalam Hikayat Khoja Maimun ini kisahnya berlatarkan alam nyata termasuklah lautan dan segala isinya. Sebahagian daripada alam nyata yang disebutkan memang wujud bahkan dapat kita kesan kehadirannya.
            Sebuah cerita tradisional memang tidak mementingkan waktu atau masa dengan tepat. Latar masa seolah-olah tidak diberi penekanan. Kadar atau tempoh masa yang digunakan ternyata amat umum sifatnya. Kadangkala kita mengetahuinya melalui penggunaan perkataan seperti “hatta”, “syahadan”, “tidak beberapa lama kemudian”, dan sebagainya. Kadar masa yang amat khusus hanya diberikan pada bilangan hari seperti “separuh hari perjalanannya”, “lima belas hari dalam perjalanan”, dan sebagainya. Dikatakan juga ada kejadian-kejadian yang berlaku di istana-istana raja, di tempat peraduan yang indah, bahkan dalam hutan dan lautan.

(d)   Watak dan perwatakan

Dalam sesebuah cerita sama ada tradisional atau moden, watak memainkan peranan yang cukup penting. Melalui watak yang beraneka jenis dan peranannya, pengarang dalam sesebuah cerita dapat menyampaikan mesejnya. Perwatakan adalah sifat-sifat yang wujud pada watak tersebut. Ia cukup penting kerana jalinan cerita atau alur selalunya terbentuk melalui perwatakan ini. Selain itu, ada pula watak yang dikemukakan oleh pengarangnya secara umum tanpa menyebutkan nama mereka secara khusus. Contohnya orang muda, nakhoda kapal, perdana menteri, pandai emas, pandai kayu, kadi, badwi dan lain-lain lagi.            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan