photo image001kf1js1.gif photo pen-dance.gif
Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan

Isnin, 26 Mei 2014

ketokohan dan sumbangan Nuruddin Ar - Raniri

Latar Belakang


Berasal dari daerah Ranir, Gujerat India
Keturunan campuran Arab-India.
Tarikh lahir tidak diketahui.
Pendidikan awal diterima di Ranir, kemudian ke Hadramaut dan Mekah.
Fasih bertutur dalam bahasa Melayu kerana pergaulannya dengan orang Melayu di Mekah.
Pertama kali sampai ke Aceh pada tahun 1631 pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Fahamannya Ahlul Sunnah kurang mendapat sambutan ketika itu kerana pengaruh Wahdatul Wujud yang dipelopori oleh Hamzah Fansuri sedang berkembang luas di Aceh.
Nuruddin kembali ke Aceh pada tahun 1637 pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani.  Fahamannya mula mendapat perhatian dan dilantik sebagai mufti.
Nuruddin kembali ke Ranir India pada tahun 1644 dan meninggal pada 1658.

SUMBANGAN KARYA

Syeikh Nuruddin Al Raniri merupakan pengarang kitab-kitab agama yang berfahaman Ahlul Sunnah yang bertujuan menolak aliran Wahdatul Wujud.
Nuruddin mengarang pelbagai bidang agama termasuk ilmu fikah, usuluddin, tasawuf, hadis dan lain-lain.
Beliau telah menghasilkan lebih daripada 31 buah kitab antaranya termasuklah:

a.  Bustan al Salatin
Sebuah kitab Ketatanegaraan bertujuan sebagai panduan pemerintahan. Mengandungi 7 bab dan beberapa fasal.  Isinya membicarakan pelbagai jenis ilmu seperti firasat dan perubatan.  Turut membincangkan konsep kejadian alam dan kisah nabi-nabi.

b. Siratul Mustaqim
Sebuah kitab ilmu fikah yang membicarakan berbagai hukum Islam.  Membicarakan tentang ibadat dalam Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain.  Kitab ini juga turut membahaskan tentang hukum-hukum qurban, berburu dan soal halal dan haram dalam makanan.

c.  Akhbar Al Akhirat
Sebuah kitab mengandungi hal-hal penciptaan Muhammad, Adam, maut, tanda-tanda kiamat, syurga neraka dan lain-lain.  Isi kitab adalah saduran daripada kitab karangan Imam Al Ghazali.

d.  Jawahir Al Ulum
Kitab yang menghuraikan tentang fahaman sufi dan memuatkan peraturan-peraturan ilmu.  Ia juga merupakan sebuah kitab dalam bahasa Melayu yang membahaskan falsafah mistik dengan mendalam.

e.  Syifa Al Qulub
Sebuah kitab dalam bahasa Melayu yang membicarakan cara-cara berzikir kepada Allah s.w.t

f. Asrar Al Ihsan Fi Makrifat Ar Ruh Ar Rahman
Sebuah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab yang membahaskan tentang manusia terutama roh, sifat, hakikat serta hubungan manusia dengan tuhan. Ia turut mengandungi perdebatan tentang roh dengan Hamzah Fansuri.

g.  Kitab Hillal Zil
Seperti Tabyan Fi Makrifat, Syafaul Kulub dan Hujjatus Sidik.  Merupakan kitab yang mengandungi ajaran dan kepercayaan aliran ahlul sunnah yang ditulis bertujuan menentang ajaran Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Al Sumaterani.
 
 PERANAN DAN KEDUDUKAN.

Seorang pengarang yang mahir dalam soal keagamaan dan juga merupakan seorang guru agama yang berpengalaman luas dan berkebolehan dalam pelbagai disiplin ilmu.

Seorang pengarang yang terkenal dalam bidang agama dan banyak menghasilkan buku-buku, kitab tasawuf, mistik dan sufi.

Seorang ulama yang berpegang teguh pada aliran ahlul sunnah (Isnainiayah) dan berusaha menentang aliran Wahdatul Wujud yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam dan zindik.

Seorang tokoh pentadbir yang dihormati dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani.  Beliau pernah dilantik sebagai mufti dan sangat berpengaruh kepada sultan.  Nasihat dan pengaruh beliaulah menyebabkan hasil-hasil karya Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Al Sumaterani telah diperintahkan dibakar oleh Sultan Iskandar Thani.

Isnin, 19 Mei 2014

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang



Mengikut kitab hikayat Tufat n' Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan, iaitu Megat Seri Rama, telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.

Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang sedang mengandung, telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada sultan. Wan Anum kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Wan Anum. Ketika Sultan Mahmud Syah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Wan Anum ditangkap dan dibelah perutnya menyebabkan kematian isteri Laksamana.

Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cermelang bagi angkatan tentera Johor. Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke rumahnya mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati. Laksamana merasa marah, kecewa dan menangis apabila mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya isteri kesayangannya dibunuh.

Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Syah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri sambil menghalang lalu lintas baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!". Sepantas kilat, laksamana terus menikam Sultan dengan kasarnya.


Suasana di perkarangan masjid gempar apabila darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku. Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah keris yang tersisip di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana. Sultan terus betitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi...."

Berberapa minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir. Megat yang tiba-tiba memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.


Isnin, 12 Mei 2014

Pemikiran Raja Ali Haji

Raja Ali haji sangat terkenal dalam bidang bahasa. Beliau telah menghasilkan Bustan al- Katibin pada tahun 1850. Bustan al-Katibin membawa maksud Taman Pujangga-pujangga. Bustan al- katibin merupakan buku tatabahasa Melayu. Buku ini dimulakan dengan pendahuluan, 30 Fasal dan penutupnya. Mukadimah atau pendahuluan Bustan Al Katibin menjelaskan kelebihan ilmu dan akal manakla bahagian isi yang terdiri daripada 30 pasal dapat dibahagikan kepada 3 kelompok iaitu tata ejaan, pembahasan kelas kata dan analisis kalimat. Tata ejaan dimuatkan dalam fasal 1 hingga fasal yang ke 10.
Pembahagian kelas kata pula dimuatkan dalam fasal 11 hingga fasal yang ke 14. Raja Ali haji membahagikan kelas kata kepada ism iaitu nama, fi’l iaitu perbuatan dan harf iaitu partikel. Pembicaraan mengenai aspek analisis kalimat pula bermula pada fasal 15. Menurut para sarjana bahasa Melayu, Raja Ali Haji berjaya membuat ulasan yang baik dalam bahagian pertama buku ini. Namun, bahagian kedua buku ini sukar diterima kerana beliau cuba untuk menyesuaikan tatabahasa Melayu dengan tatabahasa Arab. Walau bagaimanapun, karya Ali Haji ini sangat dihargai kerana usahanya itu dianggap sebagai percubaan awal untuk menyusun tatabahasa Melayu.


Falsafah Alam
Sebelum kita melihat dengan lebih jauh mengenai falsafah alam ini, kita lihat dulu definisi alam sekitar.  Alam sekitar membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Perkataan alam sekitar merujuk kepada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk kepada fenomene fizikal yang melingkungi organisma di muka bumi. Alam sekitar terbahagi kepada beberapa kompenan . Komponen yang pertama ialah unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi tanpa penglibatan manusia seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan batu-bata dan fenomena semula jadi yang berlaku. Komponen yang kedua pula ialah sumber sejagat semula jadi serta fenomena fizikal yang tidak mempunyai batasan tertentu seperti udara, air, iklm, sinaran, cas elektrik dan kemagnetan yang tidak wujud hasil daripada kegiatan manusia.  Menurut Zaini Ujang (1993) alam sekitar memberi manfaat kepada manusia sebagai simbol daripada Allah untuk memantapkan keimanan, menjadi buku ilmu yang akan memimpin manusia yang boleh digunakan untuk memudahkan kehidupan mereka.
Falsafah alam sekitar adalah ilmu yang menumpukan kepada alam dan manusia dituntut agar menggunakan kebijaksanaan mereka semasa bertindak ke atas alam. Manusia perlu menghormati alam ini kerana mereka adalah pengguna sumber alam terbesar. Falsafah alam juga merupakan salah satu cabang ilmu falsafah etika. Etika alam sekitar merupakan kajian yang menekankan hubungan, nilai dan status moral manusia terhadap persekitaran mereka termasuklah benda bernyawa dan benda tidak bernyawa. Etika ini juga merujuk kepada kepentingan alam sekitar di samping mengambil kira suasana penempatan manusia sebagai pengguna terbesar terhadap sumber alam. Kesimpulannya, falsafah alam menurut Hamka mempunyai ikatan kental dengan falsafah ketuhanan yang mampu menjadi falsafah kehidupan bagi umat manusia.
Perkembangan falsafah alam sekitar ini muncul semenjak tamadun Greek lagi. Antara ahli falsafah yang membincangkan falsafah alam ini ialah Aristotle. Beliau mengenal pasti tentang keperluan untuk satu pemerhatian terhadap biologi dan geologi. Walau bagaimanapun, beliau tidak berminat untuk melindungi alam semula jadi ini. beliau berpendapat semua kejadian di alam ini adalah untuk kegunaan manusia serta perbuatan manusia juga ditentukan oleh alam ini. oleh itu, manusia tidak boleh dipersalahkan terhadap apa jua tindakan mereka.
Menurut ahli falsafah agama seperti Kalus Klostermaier, kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan, bukanlah sebagai jalan terakhir tetapi jalan sebenar dalam memastikan alam sentiasa dihargai. Agama Hindu dan kristian juga mengatakan kedudukan alam wajib dihargai sebagai makhlum ciptaan Tuhan untuk dihormati. Kegagalan manusia memahami alam dengan baik adalah disebabkan oleh kegegalan mereka memahami ajaran agama.
Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk saling berkeyakinan bahawa segala yang ada di alam ini telah terancang oleh si Pembuat. Falsafah alam membawa manusia mengenali dan mendekati Tuhan sehingga bersepdu menjadi falsafah ketuhanan. Falsafah alam dikatakan menjadi peneraju kepada pembentukan falsafah ketuhanan dalam diri manusia. Agama menyarankan manusia memahami alam dalam bentuk penilaian spiritual agar mereka mengetahui tujuan alam dijadikan untuk mereka.

 Unsur-unsur Alam dalam Bustan Al-Katibin
Manusia yang hidup di dalam alam, boleh juga dikatakan sebagai manusia ialah alam. Manusia hidup di dalam ruang alam. Mereka tinggal di tepi sungai, tepi bukit, tepi pantai, lembah, tepi dan sebagainya. Tambahan pula, sungai, laut dan hutan merupakan tempat manusia mencari rezeki. Manusia juga telah mempelajari sifat sifat alam misalnya, kejadian pasang surut, tabiat binatang dan sebagainya. manusia juga perlu mengkaji alam ini dengan teliti daripada sekecil- kecil flora dan fauna kepada yang bersaiz gergasi.
Berikut merupakan beberapa contoh falsafah alam dalam Bustan Al-Katibin
Contoh 1 :
“ Tiada pada langit itu kira-kira yang lapang daripada awan dan mega”
(Bustan al-Katibin : 45)


Contoh 2 :
“ Kacang itu jika disayur dengan santan terlalu baik, istimewa pula dibubuh garam, maka bertambah-tambahlah baiknya”
(Bustan al-Katibin : 28)

Contoh 3 :
“ Atau suara binatang seperti berkiok kepada ayam dan mengembek kepada kambing dan menguak kepada kerbau, semuanya nama bagi suara belaka.
(Bustan al-Katibin : 38)

            Contoh-contoh di atas menunjukkan penggunaan unsur alam dalam Bustan Al-Katibin. Misalnya, dalam contoh yang pertama terdapat penggunaan perkataan langit danawan. Contoh yang kedua pula menunjukkan penggunaan unsur tumbuhan iaitu sayur dan juga santan. Contoh yang ketiga pula menggunakan unsur binatang iaitu kambing, ayamdan kerbau.Walau bagaimanapun, tidak banyak falsafah alam yang dapat dilihat dalam Bustan al-Katibin. Hal ini kerana, buku ini banyak menceritakan tatabahasa Melayu.



  Falsafah Islam dalam Karya Agung Bustan Al-Katibin
Terdapat beberapa cabang falsafah. Salah satunya ialah falsafah islam. Perkataan islam membawa erti penyerahan dan pengabdian. Sebagai ‘deen’, Islam merupakan penyerahan dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T  Perkataan Islam juga boleh diertikan sebagai ketenangan. Ketenangan yang sejati kepada manusia mengikut Islam akan mengarah kepada kecemerlangan melalui pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T Falsafah Islam menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Kesemua ini berpandukan kepada sumber al-Quran dan wahyu. Al-Quran merupakan panduan dan pegangan yang ulung bagi umat Islam. Hal ini telah disebutkan sendiri melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dengan (Al-quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) tuhan tunjukkan ke jalan yang lurus”.
                                                                                                            (Surah al Maa’idah: ayat 16)
Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah Islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Al-Quran merupakan panduan dan pegangan yang ulung bagi umat Islam.
Keesaan Allah S.W.Tatau tauhid menjadi asas kepada falsafah Islam. Keyakinan kepada kepercayaan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap kehidupan manusia. Kehidupan dan gelagat manusia sebagai individu dan kehidupan manusia berorganisasi dan bermasyarakat sudah pasti dipengaruhi oleh kepercayaan ini. Bahkan falsafah dan sikap hidup manusia dipengaruhi oleh kepercayaan yang diyakini dan dianutinya. Sesungguhnya, wahyu juga menjadi teras falsafah islam. Wahyulah yang membentuk aspek-aspek hidup manusia. Hal ini jelas dari segi sosial, ekonomi, politik, perundangan, kesenian, pendidikan dan lain-lain. Pendek kata, kesemua aspek ini dikuasai di bawah kawalan wahyu.

Ramai telah telah memberikan pendapat masing-masing mengenai falsafah bahasa. Menurut Al-Farabi, falsafah itu ialah ilmu pengetahuan tentang alam yang wujud dan bertujuan untuk menyelidik hakikat yang sebenar. Menurut Ahmad Fuad al-Ahwani pula, falsafah Islam adalah pembahasan tentang alam dan manusia yang disinari ajaran Islam. Mustofa abdul Razik menyatakan bahawa falsafah Islam adalah falsafah yang tumbuh di negeri Islam dan dibawah naungan negeri Islam tanpa memandang agama dan bahasa pemiliknya. Ruang perbincangan falsafah Islam berkisar kepada beberapa persoalan utama iaitu persoalan ketuhanan, persoalan insan, persoalan alam dan persoalan kehidupan.
Persoalan ketuhanan berkait rapat dengan agama Islam. Islam sebagai ‘deen’ merupakan satu cara hidup yang lengkap serta komprehensif. Ia mencakup segala aspek pengendalian hidup untuk untuk individu, masyarakat dan negara. Islam memandang agama bukan ciptaan manusia. Ia turun dari langit, melalui para rasul dan dibuktikan dengan kitab-kitab. Islam diasaskan kepada keesa’an hanya kepada Allah S.W.T. bahkan manusia diciptakan semata-mata untuk menghayati hidup untuk mendapat keredaan Allah s.w.t. Penciptaan manusia di dunia ini hanyalah untuk menyembah yang maha esa. Hal ini bertepatan dengan ayat al-Quran yang bermaksud:
“ tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah aku”.
                                                                                                (Surah al-Dhariyat: ayat 56)
Persoalan insan merupakan salah satu persoalan yang penting dalam falsafah islam. Insan bertindak mengaplikasikan falsafah dalam kehidupan. Di dalam islam, insan adalah makhluk yang istimewa. Insan dikurniakan fizikal, akal, rohani, fitrah dan kuasa untuk memilih. Akal dapat membezakan manusia dengan binatang. Ia juga merupakan salah satu faktor yang membezakan darjah manusia dengan manusia yang lain. Hal ini dapat dikaitkan dengan falsafah yang ditulis oleh Raja Ali Haji di dalam kitabnya:
“ shadan jika demikian nyatalah apabila tiada ilmu dan akal, alamat tiadalah ia mencium bau kemuliaan dan sangatlah jinak kehinaan kepadanya, maka terbukalah pintunya, maka masuklah kehinaan pada tiap-tiap pintu itu.

Maksudnya di sini ialah manusia yang tidak berilmu itu tidak akan dipandang mulia, bahkan mereka akan dipandang hina. Manusia telah diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai akal. Akal yang membezakan manusia dengan binatang. Akal saling berkait rapat dengan ilmu. Islam sangat mementingkan ilmu. Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis nabi yang berbunyi:
“ barang siapa yang mati di dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka dia berada di dalam syurga kelak satu darjat dengan para nabi”.
Dalam kitabnya, Bustan al-Katibin, Raja Ali Haji memulakan dengan mukadimah dengan judul “fi fadhilati al-ilmu wal aqlu” Maksudnya kelebihan ilmu dan akal. Menurutnya lagi, akal adalah sebaik-baik  perhiasan. Jikalau beberapa pun bangsa jika tiada ilmu , akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya, yakni kehinaan juga diperoleh. Di sini Raja Ali Haji mengaitkan hubungan yang amat erat antara ilmu, akal dan adab. Ertinya, untuk menjadikan akal dan adab sesuatu bangsa atau masyarakat menjadi lebih baik, maka perlulah mendapatkan ilmu yang benar. Lebih tegas lagi, Raja Ali Haji  menyatakan:
“Man sa’a adabahu dha’an nasbahu, 
ertinya :barangsiapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya.”
(Bustan al-Katibin : 4)
Alam mempunyai hubungan yang bermakna dengan persoalan ketuhanan dan insan. Alam ialah makhluk Allah S.W.T yang mampu difahami dan diketahui  insan. Kefahaman insan tentang alam  membolehkan insan berfungsi sebagai hamba dan khalifah memanfaatkan alam bagi meningkatkan kualiti kehidupan. Kehidupan insan mempunyai peranan  dan matlamat yang jelas kehidupan insan tidak berakhir dengan kematian kehidupan insan tidak berakhir dengan kematian Insan dituntut agar mencari keredaan Allah S.W.T.


Falsafah Melayu
Tamadun Melayu merujuk kepada satu rumpun bangsa yang berasal daripada satu punca, mempunyai asas kehidupan yang sama dan hanya berbeza daripada segi pengaruh alam sekitar. Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan idea yang dapat dikesan daripada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Melayu dapat didefinisikan sebagai nama suatu bangsa dan bahasa termasuk di Semenanjung Malaysia iaitu mengikut cara hidup orang Melayu. Di Negara Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160(2). Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai
1.      Seorang yang beragama Islam
2.      Bertutur dalam bahasa Melayu
3.      Mengamalkan adat istiadat Melayu
4.      Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.
Sejarah peradaban Melayu yang bersaskan kepada perkembangan budaya Melayu merupakan fenomena penting dalam pembinaan identiti Melayu. Peradaban Melayu telah dibina oleh kelompok- kelompok Melayu di alam Melayu secara umumnya dan daripada keadaan terbinanya identiti Melayu yang bersasakan kepada tradisi sejarah yang sama yang telah dilalui oleh kumpulan Melayu tersebut.
         Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kepada kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyrakat. Nilai yang disampaikan oleh masyarakat Melayu bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan bersesuaian dengan identiti masyarakat Melayu. Pemupukan nilai- nilai tersebut dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Nilai- nilai murni yang sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu merupakan perkara penting yang menjadi tunjang kepada identiti orang Melayu. Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan dan membentuk jati diri dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, interaksi yang beradab, sopan dan menghormati orang lain merupakan norma- norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Hal ini bersesuaian dengan konsep orang Melayu yang sering berbudi bahasa dengan orang lain.
         Bagi golongan muda contohnya, mereka diajar supaya berbudi bahasa dan bercakap lemah lembut dan tidak meninggikan suara apabila bercakap dengan orang yang lebih tua daripada mereka. Pengamalan tingkah laku yang bersopan sangat penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana nilai yang diamalkan akan menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan. Dengan ini dapat mengelak daripada berlakunya pertelingkahan dan sikap tidak menghormati antara satu sama lain. Selain itu, masyarakat Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap sikap berbudi bahasa. Masyarakat Melayu telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Bagi anggota masyarakat yang tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupan mereka akan menimbulkan pandangan negatif oleh masyarakat.
         Kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu yang menjadi amalan turun- temurun menggambarkan identiti orang Melayu yang berpegang teguh kepada adat nenek moyang. Masyarakat Melayu masih lagi mengamalkan adat- adat tersebut sehingga ke hari ini. Antara adat yang masih lagi diamalkan ialah adat merisik dan meminang, adat cukur jambul, adat melenggang perut bagi perempuan yang hamil dan sebagainya. Ketinggian budi bahasa dalam masyarakat Melayu juga dapat dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional. Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, nazam, teka- teki, dabus dan sebagainya. Pantun merupakan puisi yang paling lama digunakan oleh orang  Melayu sejak zaman dahulu lagi.
         Pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat. Pantun dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan nasihat atau memberikan sindiran kepada seseorang secara halus. Oleh itu, orang yang ingin diberi nasihat atau sindiran tidak cepat berasa marah dan tidak berlaku salah faham. pantun memancarkan pemikiran masyarakat Melayu lama yang amat menekankan aspek kesantunan dan budi bahasa dalam kehidupan seharian. Menurut Alwi Salim dalam Rashid Md Idris (2011), kegunaan pantun meliputi pelbagai perkara iaitu sebagai proses soaiolasi (mendidik) seperti untuk tujuan menasihat atau membentuk moral yang lebih baik dalam kalangan kanak- kanak atau orang muda, misalnya melalui pantun nasihat; melepaskan rasa kasih sayang dan rindu dendam terutama dalam kalangan orang muda; sindiran dan tempelak; menyatakan terima kasih atau penghargaan terhadap budi atau jasa yang ditaburkan; mencabar ketangkasan fikiran, misalnya dalam pantun teka teki; adat istiadat yang formal seperti dalam upacara peminangan dan sebagainya; menekankan pendapat dan menjelaskan maklumat terutamanya sangat berkesan apabila berhujah supaya pendapat menjadi lebih berasas.
         Terdapat pelbagai jenis pantun yang mempunyai tema tertentu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang, puji-pujian, nasihat, agama, adat, telatah dan corak hidup masyarakat. Tema yang ingin diketengahkan, disisipkan dengan latar alam. Kerana alam itu indah, maka unsur-unsur alam diaplikasikan di dalam setiap rangkap pantun.

 Falsafah Melayu dalam Bustan al- Katibin
Contoh 1
“Maka hendaklah diperbuat tiap- tiap seorang pada tatkala berkirim surat- suratan dengan perkataan halus, jika pada pencuri sekalipun.”

                                                                                                                                                     ( Bustan al- katibin, m/s :48)

Berdasarkan petikan daripada Bustan al- Katibin di atas dapat  dijelaskan Falsafah Melayu yang ingin diketengahkan adalah berkaitan dengan budi pekerti orang Melayu yang sentiasa menjaga setiap tutur bicaranya dan menggunakan bahasa yang halus dan sopan semasa bercakap dengan orang lain walaupun orang tersebut merupakan pemcuri sekalipun seperti yang terdapat dalam petikan di atas. Hal ini bertujuan untuk mengekalkan hubungan baik antara seseorang individu dengan individu yang lain.

Contoh 2

“ Demikian lagi apabila selesai surat itu disuratnya, hendaklah dibaca dahulu dimuqabalah kan. Dan tiada harus orang lain yang membacanya jika tiada dengan izinnya dan tiada pula orang lain yang menyuratkannya. Bagi orang lain yang mengkhabarkan barang yang di dalam surat itu kepada seseorang lain jika tiada dengan izinnya tuan yang punya surat itu, adanya.”

                                                                                                                                    (Bustan al- Katibin, m/: 51)


Petikan di atas pula dapat dilihat mengetengahkan mengenai peribadi orang Melayu yang sering menjaga hubungan baik denga orang lain. Bagi masyarakat Melayu hubungan baik yang terbina sangat penting bagi mengekalkan keharmonian dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, pengekalan hubungan yang baik dalam masyarakat begitu dituntut dan perlu diamalkan oleh setiap masyarakat. Berdasarkan petikan diatas menerangkan mengenai sikap masyarakat Melayu yang tidak akan sesekali mengambil atau menggunakan sesuatu yang bukan miliknya kecuali dengan pengetahuan atau kebenaran daripada pemilik sebenar.

         Secara ringkas, kebudayaan Melayu adalah hasil asimilasi dan adaptasi daripada dua budaya purba dan disesuaikan mengikut geografi setempat. Hasil dari pertembungan, asimilasi, adaptasi dan kesusuai penggunaan dalam norma hidup akhirnya melahirkan satu kebudayaan yang juga bertamadun tinggi iaitu tamadun dan kebudayaan Melayu.Dari falsafah perbidalan dalam kebudayaan Melayu ini juga, telah mencetuskan idea-idea yang sinonim seperti itu. Banyak perbidalan tercipta hasil peristiwa dan tanggapan masyarakat dengan kefahaman yang begitu mendalam dan tepat. Ciri-ciri pengamatan dan kepintaran ini telah menghidupkan daya kreatif Melayu dan terus berkesinambungan mengikut kesesuian tempat dan zaman.
         Ciri-ciri ini telah melonjakkan kedudukan falsafah kebudayaan dan pemikiran Melayu sebagai salah satu kebudayaan bangsa manusia yang tua dan ulung dalam dunia.  Berdasarkan falsafah pemikiran dan adat kebudayaan Melayu pada penelitian sarjana barat, adalah lebih tinggi atau standing dengan bangsa asing yang maju tetapi tidak mendapat tempat sewajarnya dalam pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Mereka sangat membanggakan amalan kebudayaan bangsa asing tanpa mengetahui kebudayaan dan falsafah kebudayaan bangsa Melayu sendiri adalah lebih jauh tinggi dan bermutu.


Falsafah Bahasa
Muntasyir (1987) dalam Asep Ahmad Hidayat, falsafah bahasa merupakan suatu penyelidikan secara mendalam terhadap bahasa yang digunakan dalam falsafah sehingga dapat dibezakan penyataan falsafah yang mengandungi makna. Menurut Hashim Haji Musa (2006) pula, falsafah bertujuan untuk meneliti dan menilai bangsa sebagai pembawa makna, sebagai satu alat perhubungan, perakaman, penimbunan, pewarisan dan sebagai lambang atau simbol yang mewakili alam, kewujudan, kejadian, kelakuan dan keadaan bagi seluruh alam kesedaran atau realiti manusia. Searle dalam Awang Sariyan (2007) pula mendefinisikan falsafah bahasa sebagai usaha menganalisis ciri-ciri umum bahasa seperti makna, rujukan, kebenaran, penyahihan, lakuan pertuturan  dan keperluan logis. Definisi lain tentang falsafah bahasa diberikan oleh Soemarsono (2004) yang menyatakan bahawa falsafah bahasa itu sebagai kajian falsafah tentang pengetahuan konseptual daripada cara-cara bagaimana pengetahuan itu dapat diungkapkan dan dikomunikasikan dalam bahasa. Falsafah ini menjadikan bahasa sebagai objek perbincangan. Secara khusus, bahasa yang akan dibincangkan tidaklah tertumpu kepada struktur luarannya seperti fonologi, morfologi dan sintaksis, tetapi perbincangan berfokus kepada fungsi atau peranan bahasa dalam menyalurkan maklumat atau mesej (Mohd Rashid Md. Idris, 2011 : 1).
Terdapat kepelbagaian dalam mengertikan falsafah bahasa dan bidang kajiannya. Para tokoh telah mengemukakan pendapat yang berbeza-beza menurut pandangan mereka sendiri. Setiapdaripada mereka mempunyai pemikiran tersendiri berkenaan falsafah bahasa. Namun, menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), secara ringkasnya falsafah bahasa boleh difahami melalui tiga maksud. Pertama, Falsafah bahasa ialah suatu penyelidikan secara mendalam terhadap bahasa yang digunakan dalam falsafah sehingga dapat dibezakan pernyataan falsafah yang mengandungi makna (meaningful) dan yang tidak bermakna (meaningless). Kedua, falsafah bahasa ialah sebuah ilmu iaitu sekumpulan hasil fikiran mengenai hakikat bahasa yang disusun secara sistematis untuk dipelajari dengan menggunakan metode tertentu. Ketiga, falsafah bahasa ialah sebuh metode berfikir secara mendalam, logik, dan universal mengenai hakikat bahasa.


 Falsafah Bahasa dalam Bustan al-Katibin
Berdasarkan pengertian falsafah yang telah difahami, terdapat beberapa contoh falsafah bahasa yang dikenal pasti telah diterapkan oleh Raja Ali Haji melalui penulisannya dalam kitab Bustan al-Katibin. Raja Ali Haji telah menulis pada bahagian mukaddimah Bustan al-Katibin seperti berikut :
“Amma ba’du. Fa ha dzihi muhtasaratan li man yahtaj ‘ala ma’firatin al-huruf wa khatahu al-Melayu wa ratibatahu ‘ala muqaddimati wa fasuli khatamati. Ertinya, inilah suatu kitab yang sampun bagi orang yang berkehendak mengenal segala huruf Melayu dan suratannya dan aku atur akan dia suatu muqaddimah dan beberapa fasal dan satu Khatimah.”
(Bustan al-Katibin : 3)
Bustan al-Katibin merupakan tulisan paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh orang Melayu. Ia mengandungi ilmu-ilmu nahu (sintaksis), saraf (morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam (penghujahan), dan sebagainya. Bustan al- Katibin mengandungi 30 fasal. 28 fasal daripadanya merupakan perbincangan terperinci mengenai bahasa. Misalnya, fasal 2 memperkenalkan huruf-huruf dan bunyinya.Pada fasal 6 dimuatkan cara-cara menulis huruf alif hingga ya pada awal kalimah.Fasal 11 membincangkan isim, atau kata nama. Cara penulisan Raja Ali Haji ini menunjukkan penerapan unsur falsafah bahasa yang menekankan penyusanan ilmu bahasa secara sistematis untuk dipelajari menggunakan metode tertentu.
Kandungan kitab Bustan al-Katibin dimulakan dengan mukaddimah atau permulaan, seterusnya diikuti dengan 30 fasal, dan kkhatimah. Selain membincangkan ilmu-ilmu bahasa yang terdapat dalam fasal 1 hingga fasal 28, Raja Ali Haji turut menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan adab dan pesanan yang berbentuk nasihat. Antaranya ialah :
“ Keempat, perkara yang tiada mendapat ‘ilmu itu barud al-himmah ya’ni sejuk hemat serta sangat pula pemalasnya hatinya pun sangat sejuk pada mengasihani pada jalan menuntut ‘ilmu itu serta dengan lalainya dan lupa pada tiap-tiap yang dipelajarkannya itu. Adalah tabi’at badannya berat rupanya dan lemah pada barang yang dikerjakannya dan sangat suka pada berbaring-baring dan tidur pada yang bukan pada waktunya. Akan tetapi hal keadaannya dirinya itu mengetahui juga ia akan menuntut ilmu itu sifat kepujian tetapi ia tiada kuasa melawani hawa nafsunya yang berat itu dan yang lemah itu.”
(Bustan al-Katibin : 9)
Berikut adalah kandungan yang dipetik daripada kitab Bustan al-Katibin yang memaparkan pesanan dan nasihat tentang perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat ilmu. Menurut beliau, sikap malas dan menuntut ilmu dengan lalai menyebabkan ilmu yang ada pada seseorang itu mudah hilang. Kebiasaan masyarakat yang suka berbaring dan tidur pada yang bukan waktunya juga menjadi salah satu sebab ketandusan ilmu, sedangkan masyarakat mengetahui kepentingan menuntut ilmu. Namun, hawa nafsu yang mendorong perlakuan negatif itu tidak dapat ditentang. Di samping itu, Raja Ali Haji turut mengemukakan adab-adab ketika berguru. Bertepatan dengan kandungan kitab Bustan al-Katibin yang diutujukan kepada seiapa yang ingin menuntut ilmu, beliau turut meneranhkan dengan jelas adab-adab menuntut ilmu dengan guru terlebih dahulu sebelum perkara mengenai ilmu ditulis. Petikan daripada kitab Bustan al-Katibin adalah seperti berikut :
 Bermula yang tersebut ini adab berguru itu sepuluh perkara juga. Pertama-tama apabila ia pergi kepada gurunya itu maka hendaklah ia memberi salam tatkala bertemu ia dengan gurunya itu. Dan kedua, hendaklah ia mensedikitkan perkataan yang bukan daripada perkara ‘ilmu itu di hadapan gurunya itu. Dan ketiga, janganlah ia berkata-kata selama belum ditanya oleh gurunya itu.
(Bustan al-Katibin : 11)


Hal ini jelas menunjukkan bahawa, Raja Ali Haji telah menggunakan bahasa sebagai perantaraan untuk menyampaikan maklumat atau mesej sepertimana yang telah ditekankan dalam prinsip falsafah bahasa yang dikemukakan Mohd Rashid Md Idris (2011) iaitu bahasa yang akan dibincangkan tidak tertumpu kepada struktur luarannya seperti fonologi, morfologi dan sintaksis, tetapi perbincangan berfokus kepada fungsi atau peranan bahasa dalam menyalurkan maklumat atau mesej.    


Selasa, 6 Mei 2014

Kisah Mahsuri





 Potret gambaran Mahsuri

Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) di Kedah, yang mana pada waktu itu, ibu bapa Mahsuri yang bernama Pandak Mayah dan Endak Alang baru saja berhijrah ke Langkawi dari Selatan Thailand, demi mencari masa depan yang lebih baik.

Kelahiran Mahsuri itu sendiri disulami dengan keajaiban apabila dikatakan sebenarnya Pandak Mayah dan Endak Alang tidak mempunyai anak walaupun telah lama berkahwin. Namun pada suatu hari, Pandak Mayah menemui kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan bayi menangis sewaktu berehat setelah mengerjakan sawah. Kerak nasi tersebut dicampur sedikit dengan nasi yang ditanak, dan untuk berberapa lama, akhirnya Endak Alang hamil. Dan sewaktu Mahsuri dilahirkan dikatakan padi menguning seakan emas yang berkilauan. Kehadiran Mahsuri dalam kehidupan pasangan miskin itu membuka pintu rezeki yang luas apabila Pandak Mayah menemui lubuk kemenyan dan juga sarang burung layang-layang, yang kemudiannya menjualnya kepada pedagang-pedagang Cina dari Pulau Pinang. Sejak dari itu kehidupan tiga beranak itu berubah dan Pandak Mayah mula digelar Orang Kaya Pandak Mayah.

Mahsuri dididik dengan segala nilai seorang gadis melayu sejati, pelajaran agama yang cukup serta dikatakan juga Mahsuri diajar bersilat demi mempertahankan diri. Akhirnya Mahsuri membesar sebagai seorang dara pingitan yang menjadi sebutan dan rebutan kerana sifatnya dan tentunya kejelitaannya yang dikatakan cukup luar biasa. Kemahsyuran Mahsuri bukan setakat terbendung di Kampung Mawat dan Mukim Ulu Melaka-tempat tinggalnya, malah seluruh Pulau Langkawi. Namun selain dari kemahsyuran yang disebut orang, sedikit sebanyak membuahkan rasa iri hati terutamanya di kalangan kaum wanita, yang tidak senang melihat kebanyakan lelaki memuji-muji Mahsuri.

Ini termasuklah Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya, Penghulu Langkawi iaitu wakil Sultan Kedah di Langkawi. Dan pastinya mengundang rasa resah yang meluap-luap dari isterinya, Wan Mahora. Rasa amarah membara apabila Wan Mahora mendapat tahu yang suaminya menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri sebagai isteri kedua. Namun, Wan Darus, adik lelaki tunggal Wan Yahya juga menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri. Demi mengelakkan rumah tangganya goyah, memandangkan Wan Yahya adalah pembesar di pulau itu, Wan Yahya merestui akan niat Wan Darus, walaupun dalam diam Wan Yahya masih menyimpan keinginan terhadap Mahsuri.

Majlis perkahwinan berlangsung dengan secara besar-besaran dan penuh meriah. Wan Mahora menerima Mahsuri sebagai iparnya walau pun jauh disudut hati, cemburu masih ada. Maka, bermulalah kehidupan Mahsuri sebagi isteri kepada Wan Darus dan dalam pada masa yang sama menyebabkan kekecewaan di hati kebanyakan lelaki yang gagal memilikinya, dan juga wanita, tentunya kerana kejelitaan yang dimiliki Mahsuri dan bersuamikan Wan Darus, yang dikatakan juga seorang pahlawan yang gagah perkasa serta tak kurang tampannya.

Namun dalam pada masa yang sama hubungan Kedah dan Siam bertambah keruh. Siam mula menakluki utara Kedah, menyebabkan perang berlaku. Baginda Sultan memerintahkan tentera dikerah dari setiap ceruk rantau negeri Kedah demi mempertahankan negeri. Dan dalam pada masa yang sama Mahsuri sedang hamil anak yang sulung. Datuk Pekerma Jaya memeperintahkan orang-orang Langkawi dikumpulkan untuk membantu tentera Kedah yang sedang berperang dan ini termasuklah Wan Darus.

Dengan hati yang berat Mahsuri terpaksa melepaskan suaminya yang tercinta pergi, tambahan pula Mahsuri seperti dapat merasakan yang beliau seperti tidak akan dpat berjumpa suaminya lagi. Untuk menghilangkan rasa rindu terhadap suami, Mahsuri berpindah ke rumah ibu bapanya, tambahan pula beliau sedang sarat mengandung. Setelah cukup sembilan bulan sepuluh hari, maka lahirlah tanda cinta antara Mahsuri dan Wan Darus, seorang bayi lelaki yang dinamakan Wan Hakim.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Kedamaian hidup Mahsuri bakal berubah apabila seorang pendatang tiba berlabuh di pantai Langkawi, seorang lelaki muda bernama Deramang. Deramang dikatakan berasal dari sebuah tempat bernama Batu Bara di Acheh. Beliau mendapat perhatian oleh ayah Mahsuri, Pandak Mayah dan beliau ditawarkan bekerja untuknya membantu bercucuk tanam dan bertani. Namun selain dari rajin dan gigih, Deramang memiliki bakat semulajadi yang luar biasa iaitu kebolehan berdendang dan bersyair. Kebolehannya itu menarik perhatian penduduk setempat berkumpul dirumah Pandak Mayah hampir setiap malam, dan dengan ini menaikkan nama Mahsuri sekeluarga.

Kemahsyuran melimpah ruah yang diperolehi oleh Mahsuri itu ternyata tidak disenangi sesetengah orang, yang tentunya iparnya sendiri, Wan Mahora yang telah sekian lama menyimpan rasa dendam dihati. Tambahan pula kedudukannya sebagai isteri pembesar mula dilupakan orang, berbanding iparnya sendiri, Mahsuri. Iri hati yang telah lama tersimpan bertukar menjadi luka yang bernanah dan Wan Mahora mengambil keputusan, sampai masa Mahsuri harus menerima balasan! Sesuatu rancangan sedang bercambah dalam pemikirannya...

Wan Mahora memerhatikan keakraban Mahsuri dan Deramang dan disitu, beliau melihatnya sebagai peluang yang tak patut dilepaskan. Isteri pembesar itu membisikkan kata-kata racun kepada suaminya Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya. Pada mulanya Wan Yahya tidak mengendahkan tapi apabila sudah tidak mampu menahan asakan, Wan Yahya bertindak untuk memerhatikan tindak-tanduk Mahsuri. Rancangan Wan Mahora berhasil apabila kebetulan suatu hari Deramang dilihat naik ke rumah Mahsuri yang tanpa disedari Deramang hanya diminta untuk menjaga anak Mahsuri, Wan Hakim, sementara Mahsuri berada di bendang. Lantas, Datuk Pekerma Jaya memerintahkan orang-orangnya, diketuai oleh Panglima Hitam, menangkap Mahsuri. Mahsuri diseret ke Balai Adat di sebuah tempat bernama Padang Mat Sirat untuk diadili bersama-sama Deramang. Dan tanpa diberi peluang untuk membela diri, Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh! Wan Mahora dalam diam tersenyum puas...

Pandak Mayah dan Endak Alang terperanjat dengan apa yang dikhabarkan orang mengenai anaknya lantas bergegas menuju ke Padang Mat Sirat demi membela Mahsuri. Pandak Mayah menawarkan segala emas, kerbau dan segala harta kekayaannya demi nyawa puteri tunggalnya namun ditolak mentah oleh Datuk Pekerma Jaya, dengan alasan, dosa yang dilakukan Mahsuri-bermukah dan melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain tidak dapat diampunkan. Mahsuri dibawa ketempat hukuman dan diikat di sebatang pokok. Deramang cuba menentang namun berjaya dia dibunuh oleh orang-orang Datuk Pekerma. Dan kini tiba masa giliran Mahsuri.

Tempat hukuman tersebut dipenuhi oleh orang kampung yang ingin menyaksikan hukuman yang bakal diterima oleh Mahsuri. Pandak Mayah dan Endak Alang masih belum putus asa masih terus cuba merayu dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora demi nyawa Mahsuri dan anaknya yang baru berusia dua bulan dan masih menyusu. Namun langsung tidak mendapat simpati dari pembesar itu. Padanya, aib yang dilakukan Mahsuri terlalu besar dan memalukannya sebagai ipar kepada Mahsuri. Sebatang tombak ditikam ke badan Mahsuri tapi dengan kuasa Allah, amat mengejutkan semua mereka yang berada ditempat hukuman, tombak tersebut langsung tidak dapat menembusi malah melukakan tubuhnya! Keadaan ini memaksa pertanda menikam Mahsuri bertubi-tubi. Ini menjadikan keadaan bertambah kalut, dan pastinya mencemaskan Wan Mahora, seandainya peristiwa aneh ini akan dapat membuktikan yang Mahsuri tidak bersalah pastinya akan mengundang aib kepadanya. Lantas Wan Mahora menyeksa Mahsuri demi memberitahunya akan rahsia bagaimana hendak membunuh Mahsuri.

Mahsuri yang terlalu lemah dan tidak bermaya sudah tidak mampu menahan seksaan dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora, lantas dengan berat hati yang teramat sangat terpaksa memberitahu akan sebuah rahsia keluarga yang telah lama terpendam. Seorang utusan dititahkan bergegas ke Kampung Mawat, untuk mendapatkan sebilah keris pusaka keluarga Pandak Mayah yang didakwa Mahsuri, satu-satunya senjata yang dapat memutuskan nyawanya. Tanpa membuang masa apabila keris itu berjaya diperolehi, Datuk Pekerma sendiri mengambilnya dan menikam Mahsuri! Tikamannya menembusi rusuk kiri dan buah dada Mahsuri. Dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, menantikan nyawa melepasi kerongkongnya...Mahsuri melafazkan kata-kata yang bakal diingati sepanjang zaman...

" Ya Allah, Ya Tuhan Yang Maha Melihat Segalanya, aku redha akan matiku jika benar aku bersalah tapi jika benar aku dianiaya...ssesungguhnya aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini, dan aku sumpah, bumi Langkawi tidak akan aman, berpuakalah menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!"

Dan lebih memeranjatkan, darah yang mengalir dari luka tikaman itu berwarna putih, membuktikan penganiayaan yang berlaku keatasnya...namun segalanya sudah terlambat. Mahsuri terkulai dan menghembuskan nafas yang terakhir. Kuasa Allah Yang Maha Besar, kilat sabung menyabung dan ribut melanda Padang Mat Sirat. Kejadian yang menyusul kematian Mahsuri membuktikan yang dia tidak bersalah dan orang ramai mula mengutuk tindakan membabi buta yang dilakukan oleh Datuk Pekerma Jaya. Tapi, segalanya sudah terlambat...

Wan Darus pulang ke Langkawi setelah kekalahan tentera Kedah di Kuala Muda namun kekecewaan yang sedang ditanggungnya bertimpa-timpa lagi apabila menerima berita kematian isteri tercinta. Harapan untuk kembali bersama keluarga yang sekian lama dirindui punah dan hancur. Dengan itu, bersama langkah yang berat, Wan Darus mengambil keputusan untuk meninggalkan Langkawi yang sudah tidak lagi menjanjikan kebahagiaan padanya, bersama anaknya Wan Hakim serta kedua ibu bapa mertuanya, Pandak Mayah dan Endak Alang. Tetapi, keadaan masih belum berakhir di Langkawi...

Tentera Siam mara keseluruh pelusuk Kedah, termasuklah Pulau Langkawi, genap tujuh hari selepas kematian Mahsuri. Segalanya punah, hancur dan kematian berlaku dimana-mana. Datuk Pekerma Jaya dibunuh dan dilapah oleh tentera Siam dan mayatnya dicampakkan di Sungai Langkanah. Manakala isterinya Wan Mahora, bersama wanita-wanita Langkawi yang lain, dirogol dan dijadikan hamba abdi oleh tentera Siam. Angkara hasad dengki dan fitnah, Langkawi menerima padah yang terlalu hebat. Penyesalan sudah tidak berguna lagi sebaliknya Langkawi hanya mampu menerima bahana, dan sumpahan Mahsuri kekal menghukum Langkawi untuk tujuh keturunan kemudiannya.

                                                                     Makam Mahsuri