Prinsip Asas Pertama dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Nahu
atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa
terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Berbahasa
mengikut nahu merupakan prinsip pertama yang diketengahkan oleh Teori Falsafah
Bahasa. Prinsip tersebut menegaskan betapa pentingnya kita berbahasa dengan
betul mengikut nahunya. Proses komunikasi atau berbahasa perlu mengikut nahunya
agar maklumat yang yang ingin disampaikan itu mencapai objektifnya.
Antara elemen-elemen penting dalam
sesebuah proses komunikasi atau berbahasa adalah terdiri daripada sumber,
saluran, mesej, penerima, maklum balas, gangguan dan juga persekitaran. Bahasa
merupakan suatu sistem. Hal ini membuktikan bahawa bahasa itu lengkap dan
sempurna dari segi peraturan ataupun polanya.
Selain itu, bahasa juga terdiri
daripada sistem bunyi, sistem makna dan juga sistem tatabahasa. Bahasa yang
digunakan dalam pertuturan dan juga penulisan sememangnya terikat dengan sistem
tatabahasanya. Dalam sistem tatabahasa mahupun nahu, setiap perkataan perlu
disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapkan
ataupun ditulis.
Di samping itu, penggunaan perkataan
yang difahami umum (denotatif) juga amat penting agar pendengar dapat mentafsir
makna dengan tepat. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas akan meningkatkan
keberkesanan penafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, jika kita berbahasa
dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang hendak
disampaikan kepada individu lain akan dapat disampaikan dengan sempurna dan
jelas.
Perkongsian makna juga amat penting
dalam berbahasa. Setiap individu khususnya pendengar perlu mempunyai
pengetahuan untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh penutur apabila
sesuatu proses komunikasi lisan berlaku. Komunikasi merupakan proses apabila
kedua-dua pihak yang terlibat membentuk dan berkongsi makna antara satu sama
lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman. Perkongsian di sini bermaksud
perkongsian makna terhadap sesuatu isyarat yang ingin digunakan oleh penutur dan
juga pendengar dalam suatu proses komunikasi. Sesuatu isyarat, maklumat mahupun
bahasa mungkin memberi makna yang berbeza antara penutur dengan pendengar.
Selain itu, komunikasi yang baik
akan berlaku sekiranya penutur dan pendengar bersetuju dengan penggunaan
sesuatu bahasa dan bahasa tersebut dapat difahami dengan baik oleh kedua-dua
pihak. Namun demikian, masalah akan berlaku dalam komunikasi sekiranya timbul
masalah perbezaan persekitaran setiap individu seperti budaya, adat resam,
sikap, pendidikan dan juga nilai. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya manusia
berbahasa dengan betul agar mesej yang ingin disampaikan kepda setiap individu
dapat dicapai objektifnya.
I La Galigo merupakan sebuah sejarah
mitos penciptaan dari peradaban Bugis di Sulawesi Selatan (sekarang bahagian
dari Republik Indonesia) yang ditulis di antara abad ke-13 dan juga abad ke-15
dalam bentuk puisi bahasa Bugis kuno, ditulis dalam huruf Lontara kuno Bugis.
Versi bahasa Bugis asli I La Galigo sekarang hanya dapat difahami oleh kurang
seratus orang. Hanya sebahagian sahaja daripada teks I La Galigo yang telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan tidak ada versi lengkap dalam
bahasa Inggeris. Namun demikian, terdapat sebuah buku yang menceritakan I La
Galigo secara ringkas dengan menggunakan dwibahasa, iaitu bahasa Indonesia dan
juga bahasa Inggeris. Buku tersebut bertajuk ‘The Birth of I La Galigo’. Walaupun buku tersebut menggunakan
bahasa Indonesia, namun pembaca dapat memahami isi kandungan buku tersebut.
Mesej yang ingin disampaikan melalui buku tersebut juga tercapai kerana dapat
difahami oleh pembaca. Buku tersebut juga turut menceritakan cara Sawerigading
dalam mendapatkan I We Cudai. Berikut merupakan petikan yang terdapat dalam
buku tersebut:
“Bagian yang konon paling digemari oleh masyarakat
Bugis adalah yang mengungkapkan bagaimana Sawerigading berusaha mendapatkan I
We Cudai. Putri yang sangat jelita dari Alecina ini mula-mula tidak mau dan
merasa malu menerimanya sebagai suami tetapi karena kalah perang akhirnya
terpaksa talkuk juga, dengan syarat yang hampir tidak mungkin dilaksanakan oleh
Sawerigading. Namun dengan bantuan dua ekor kucing, Sawerigading berhasil
menggauli I We Cudai dan mendapatkan anak, meskipun dalam proses hubungan
mereka itu keduanya tak pernah saling melihat karean I We Cudai sebenarnya malu
diperistri Sawerigading. Di atas tempat tidur yang gelap gulita, yang
dikelilingi tujuh lapis kelambu, dilingkari tujuh lapis dinding, dijaga oleh
sejumlah besar punggawa, Sawerigading berhasil melaksanakan tugasnya sebagai
suami...”
“I We Cudai merasa sangat malu ketika mengidam dan
kemudian melahirkan; bahkan tidak mau melihat anaknya sendiri. Anak yang baru
lahir itu pun diperintahkannya untuk dibuang atau dibunuh, namun madunya dengan
bangga dan setia mengurus anak tirinya sehingga besar dan perkasa. Anak itu
adalah I La Galigo, yang sesudah dewasa bertemu dengan ibunya yang sejati, yang
terpesona oleh kecakapan dan keperkasaannya. I We Cudai akhirnya juga menerima
Sawerigading sebagai suaminya...”
(The Birth of I La Galigo, 2005:14)
Berdasarkan
petikan tersebut, mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca tercapai walaupun
bahasa yang digunakan adalah bahasa Indonesia. Bahasa yang yang digunakan
adalah mudah dan dapat difahami oleh pembaca, iaitu mengisahkan tentang kelahiran
I La Galigo. Ha ini bermakna terjemahan teks I La Galigo ke dalam bahasa
Indonesia memudahkan pembaca dapat mengetahui serba sedkit mengenai sejarah I
La Galigo. Perkataan yang digunakan dalam buku tersebut juga adalah mudah dan
tidak sukar untuk mengetahui maknanya. Oleh itu, walaupun terjemahan teks I La
Galigo ke dalam bahasa Melayu belum pernah dilakukan, namun bahasa Indonesia
yang mudah digunakan dapat menyampaikan mesej kepada pembaca tentang sejarah I
La Galigo. Justeru itu, perkataan yang mudah digunakan serta bahasa yang dapat
difahami oleh pembaca memudahkan peyampaian mesej berlaku kepada pembaca.
Prinsip Asas Kedua dalam Teori Falsafah
Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar
Teori
Falsafah Bahasa ini turut menitikberatkan bahawa tujuan berbahasa adalah untuk
menyampaikan maklumat yang benar dan betul. Hal yang demikian ini selari dengan
firman Allah S.W.T yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2012:70) yang
bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu
kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
(Surah Al-Ahzab 33:70)
Sesuatu
maklumat yang disampaikan tidak hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi
semata-mata. Seseorang itu hendaklah
menyampaikannya berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh dipercayai. Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan
maklumat tersebut tidak bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan
diri dari melakukan fitnah.
Dalam
agama Islam, setiap umat Islam diajar supaya mengkaji atau menyelidik terlebih
dahulu maklumat yang diterima sebelum disampaikan dan tersebar dalam kalangan
masyarakat. Perkara ini mengkehendaki
seseorang itu untuk menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan mudah difahami
oleh orang lain.
Karya
sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada sebuah
pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat dipercayai
atau sebaliknya. I La Galigo merupakan
sebuah karya sastera yang lahir daripada pembentukan realiti dengan dunia ideal
yang diyakini kebenarannya. Hal yang
demikian ini disebabkan oleh karya tersebut telah menjadi pegangan kepada
kehidupan masyarakat Bugis sejak dahulu lagi.
Pada
asasnya, masyarakat Bugis merupakan salah satu komuniti yang mempunyai struktur
masyarakat yang sangant spesifik.
Ciri-ciri kebudayaan masyarakat tersebut juga masih kekal dan dapat
ditelurusi jejaknya dari zaman lampau sehinggalah kini. Kenyataan ini terbukti berdasarkan
peninggalan-peninggalan bertulis yang terdapat di dalam karya I La Galigo.
Setiap
peristiwa dan penceritaan tokoh-tokoh dalam Galigo merupakan gambaran kehidupan
sebenar masyarakat awal Bugis. Hal yang
demikian ini menandakan bahawa karya sastera ini bukan sahaja memiliki nilai
estetikanya yang tinggi, malah masyarakat lain yang membaca karya ini
mengetahui keadaan yang merangkumi kepercayaan, adat dan budaya masyarakat Bugis. Perkara ini bertepatan dengan prinsip
falsafah bahasa yang menekankan berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar.
Selain
itu, karya agung Bugis ini juga menyampaikan maklumat mengenai sejarah awal
Bugis. Menurut La Galigo, kerajaan
pertama Bugis ialah Wewang Nriwuk, Luwu’ dan Tompoktikka. Luwuk mendapat kedudukan yang istimewa kerana
beliau dianggap sebagai ketua Bugis.
Namun begitu, pada abad ke-15, berlaku perubahan di dalam sosio-politik,
ekonomi dan agama kerana berlakunya migrasi penduduk.
Penanaman
padi sawah, pembuatan besi dan penggunaan kuda mula diperkenalkan dalam bidang
ekonomi ketika itu. Adat membakar mayat
di sesetengah kawasan atau tempat turut diamalkan, iaitu dari sudut agama. Pada akhir abad ke-15, telah muncul beberapa
kerajaan baru yang menentang kerajaan Luwu’.
Misalnya, Gowa (Makassar), Bone dan Wajo’. Kematian seorang raja Luwu’,
iaitu Dewaraja menyebabkan berlakunya perebutan dinasti untuk memerintah Tanah
Ugi’. Dikatakan bahawa Gowa bersekutu
dengan Bone menawan Luwuk dan akhirnya berpengaruh besar terhadap Sulawesi
Selatan.
Di
samping itu, La Galigo menyimpan segala budaya dan peradaban manusia Bugis yang
kedudukannya tinggi dan besar sifatnya yang pernah wujud dalam sejarah,
kebudayaan dan tamadun Bugis. Jika dilihat tertulis di dalam La Galigo mengenai
kebudayaan masyarakat Bugis yang gemar berlayar, merantau dan berdagang. Kenyataan ini terbukti daripada perwatakan
Sawerigading dan anakandanya, iaitu I La Galigo yang terkenal sebagai kapten
kapal yang gagah.
Dikisahkan
bahawa sepanjang pelayaran dan perantauan, mereka telah berkenalan dan
berkomunikasi dengan dunia luar sehingga memungkinkan lahirnya wawasan yang
luas. Dengan erti kata lain, memberi
peluang kepada mereka untuk mencipta pembaharuan terhadap kehidupan masyarakat
tersebut. Oleh itu, kemampuan masyarakat
Bugis dalam mencipta perahu, rumah, hukum pelayaran Amanna Gappa dan sebagainya
dapat diketahui melalui karya ini.
Tambahan
pula, penyampaian I La Galigo membenarkan masyarakat lain mengetahui aktiviti perdagangan
masyarakat awal Bugis. Sejak
berabad-abad yang lalu, masyarakat Bugis telah menjelajahi hampir keseluruhan
pelusuk Nusantara, Australia, Filipina, China dan Madagaskar. Sebahagian kecil
mengenai aktiviti dagangan ini disebutkan di dalam karya terpanjang ini. Mereka dikatakan membawa dagangan yang berupa
hasil laut, emas dan besi.
Prinsip Asas Ketiga dalam Teori Falsafah
Bahasa: Berbahasa untuk Tujuan Ibadat atau Mentauhidkan Allah S.W.T
Terdapat
pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Tuhan selaku pencipta dunia ini. Sebarang pekerjaan yang disertakan dengan
niat kerana Allah merupakan salah satu cara kita beribadat kepada Allah selain
menunaikan solat fardhu, puasa dan sebagainya.
Berbahasa juga merupakan sebahagian daripada cara untuk kita beribadat.
Menurut
Mohd Rashid Md Idris (2012:72), komunikasi yang berkesan melibatkan semua
bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya. Terdapat tiga jenis hubungan, iaitu hubungan
manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan antara manusia dengan
manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam sekitar.
Hubungan
manusia dengan pencipta-Nya dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Tuhan
dilihat sebagai tunjang kepada segala proses komunikasi yang berlaku. Jenis hubungan ini juga dilihat melibatkan
dua perkara utama, iaitu duniawi dan ukhrawi selaras dengan syariat agama Islam
itu sendiri. Keseimbangan antara
kedua-dua perkara itu mempengaruhi kehidupan seseorang yang lebih baik dan
bertamadun.
Hubungan
antara manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar pula
dikenali sebagai komunikasi secara mendatar.
Komunikasi ini melibatkan dua orang individu secara bersemuka atau
berkomunikasi dengan makluk lain seperti jin, nunian, flora atau fauna.
Komunikasi jenis ini biasanya berlaku tanpa dirancang terlebih dahulu. Misalnya, komunikasi antara kita dengan ahli
keluarga, guru dan rakan-rakan.
Berbahasa
dikatakan beribadat apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan
ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur,
menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut
ilmu yang bermanfaat. Jelas bahawa
berbahasa yang meperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain
merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T.
Menurut
Mohd Rashid Md Idris (2012:73) menyatakan bahawa terdapat empat jenis
komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan
dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk-makhluk
lain. Komunikator yang berkesan dan selari dengan agama Islam dipengaruhi oleh
pengamatan dan penghayan yang mendalam terhadap keempat-empat jenis komunikasi
tersebut.
Manusia
merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang istimewa berbanding makhluk yang
lain kerana akal dianugerahkan kepada mereka.
Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran dan keesaan Allah
S.W.T. Oleh sebab itu, manusia digelar
sebagai komunikator yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang
luar biasa semasa proses berbahasa atau berkomunikasi berlaku.
Berdasarkan
epik atau karya sastera Bugis, iaitu I La Galigo dapat diketahui bahawa keadaan
awal masyarakat Bugis setelah kemasukan
agama Islam di tanah mereka. Menurut pendapat Andi Muhammad Akhmar yang dipetik
oleh Gusti Grehenson (2012) dalam penulisannya menyatakan bahawa sastera agung
Bugis ini tidak hanya dinikmati sebagai sastera sahaja tetapi sebagai pencetus
Islami kepada masyarakat Bugis.
Kemasukan
agama Islam dalam kalangan masyarakat Bugis berlaku tanpa menyingkirkan
unsur-unsur lama mereka tetapi menyesuaikannya dengan unsur Islam. Seperti yang
diketahui bahawa, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Bugis di Sulawesi
Selatan telah menganut kepercayaan kuno yang dikenali sebagai kepercayaan
terhadap Dewa atau Dewata Seuwae (Tuhan yang Tunggal).
Lazimnya,
karya I La Galigo yang juga disebut sebagai manuskrip La Galigo merupakan
warisan masyarakat Bugis yang merangkumi empat aspek, iaitu keagamaan, kitab
suci, tradisi dan kesenian. Berdasarkan pembacaan karya tersebut, masyarakat
Bugis mempercayai ajaran daripada Galigo bahawa Dewa tertinggi mereka ialah La
Patingga yang bermukim di kerajaan langit dan Guru Ri Selleng yang bermukim di
kerajaan ghaib sebelum menganut agama Islam.
Berdasarkan
kepercayaan itulah, lahirnya upacara dan tradisi masyarakat Bugis yang masih
dapat ditemui dalam kebudayaan masyarakat mereka. Bissu dan Sanro merupakan penajaga dan
penyelamat La Galigo. Bissu dikenali
sebagai pendeta banci yang berperanan sebagai penghubung antara manusia dengan
dewa, manakala Sanro pula berperanan sebagai pengamal yang berada di belakang
layar selain bertugas menyediakan peralatan, bahan-bahan dan alat upacara.
Hampir
keseluruhan upacara yang menjadi kebiasaan manusia ketika itu, didampingi oleh
Bissu dan Sanro. Misalnya, upacara
penurunan padi, naik rumah dan sebagainya.
Fenomena seperti ini menggambarkan bahawa La Galigo berkait rapat dengan
agama khasnya selain daripada tradisi dan kesenian masyarakat Bugis itu
sendiri.
Terdapat
pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menerapkan unsur-unsur kejiwaan yang telah
diadaptasikan malahan didialogkan sehingga terpancarnya corak kebudayaan Islam
dengan wajah Bugis atau disebut sebaai kebudayaan Bugis yang berwajaha Islam. Jadi, tidak hairanlah sekiranya kita menemui
doa Bissu yang ada menyebut Patatoqe sebagai Dewa yang tunggal.
Sungguhpun
dalam La Galigo juga, Dewa tidak bersifat tunggal kerana masyarakat Bugis
mengatakan bahawa Dewa bersifat beranak-pinak atau sebaliknya.
Bahkan, di dalamnya juga dapat ditemui konsep siriq yang kemudiannya
diadaptasi dengan konsep jihad selaras dengan ajaran agama Islam.
La
Galigo dianggap sebagai kitab suci dan sumber agama bagi penganut agama To ri
Olo masyarakat Bugis. Hal yang demikian
disebabkan oleh karya epik tersebut mewariskan sejumlah tradisi yang saling
berkaitan dengan pelbagai upacara suci dan sakral. Dikatakan bahawa, dalam upacara suci dan
sakral itu kebiasaannya akan diiringi dengan pemotongan haiwan yang disertai
dengan pembacaan sureq La Galigo.
Menurut
pendapat Tol yang dipetik oleh Nurhayati Rahman (2008) menyatakan bahawa tiada
pembacaan teks La Galigo tanpa diiringi upacara keagamaan. Bukan itu sahaja,
sebelum pembacaan dilakukan seharusnya mengadakan persembahan sajian, dupa atau
pemotongan ayam atau kambing. Perlakuan
membaca salah satu fragmen yang
terdapat dalam Galigo dikatakan boleh menyembuhkan penyakit, tolak bala dan
sebagainya.
I
La Galigo diketahui umum bahawa tidak banyak terpengaruh dengan agama Islam,
akan tetapi berdasarkan prinsip falsafah yang ketiga ini dapatlah dikaitkan
bahawa terdapat kisah yang unik mengenai Sawerigading yang memaparkan
pentauhidan kepada Allah S.W.T. Menurut
kepercayaan sebahagian masyarakat Bugis, Sawerigading yang diceritakan di dalam
karya tersebut memiliki kekuatan yang luar biasa kerana beliau merupakan
keturunan dewa, malahan sebahagian masyarakat itu menganggapnya sebagai Nabi
yang diturunkan ke bumi.
Berdasarkan
kisah perjalanan beliau ke pelbagai buah negara, lahir beberapa spekulasi yang
mengatakan bahawa Sawerigading pernah bertemu dengan Nabi Muhammad. Dalam pertemuan itu, mereka sempat berbincang
dan berlawan antara satu sama lain.
Semasa perlawanan antara Sawerigading dengan Baginda, berlaku perlawanan
seri antara kedua-duanya. Di akhir
perlawanan itu, Sawerigading mengakui dan tidak menafikan akan kehebatan
Baginda.
Karya
tersebut juga telah mempengaruhi sebahagian kepercayaan masyarakat Bugis kerana
menurut mereka, Sawerigading mempunyai ajaran atau anutan yang hampir serupa
dengan ajaran Islam. Misalnya, solat dan
haji, akan tetapi berbeza dari segi pelaksanaannya. Sawerigading juga menggalakkan anak cucunya
untuk mengunjungi Mekah.
Namun
begitu, menurut pengkaji, karya agung ini tidak tepat sekiranya dikaitkan
dengan prisnsip berbahasa yang ketiga, iaitu berbahasa untuk mentauhidkan Allah
kerana karya ini penuh dengan mitos dan lagenda. Misalnya, mitos penciptaan oleh Dewa langit
dengan mengirimkan anaknya yang digelar Batara Guru dan We Nyili’ Timo, puteri
kepada Dewa Alam Ghaib.
Umumnya,
Sawerigading yang memiliki kekuatan luar biasa seperti beliau berkemampuan
untuk naik ke langit dan turun ke bumi, meredakan angin ribut dan sebagainya
seolah-olah beliau merupakan nabi.
Bahkan, karya ini juga lahir sebelum datangnya ajaran agama Islam. Namun begitu, setelah pengaruh Islam meresap
dalam sebahagian masyarakat Bugis pada abad ke-15, mereka telah menyesuaikan
konsep dewa itu kepada Tuhan dan sebagainya tanpa mengubah kebudayaan
masyarakat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan