:: Adat Merisik ::
Adat ini juga dipanggil meninjau dan menengok. Tujuan
adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati
oleh seseorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting kerana dalam
Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang.
Di samping itu adat ini juga bertujuan untuk
menyelidik latar belakang si gadis berkaitan dengan kemahiran
rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan
agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat
pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.
Bagi pihak gadis pula, terdapat beberapa kriteria
yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki.
Antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama
serta mempunyai pekerjaan yang baik.
Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan
memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika
pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk
peminangan.Walau bagaimanapun, adat merisik jarang dilakukan lagi kerana
pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu. Justeru itu, mereka
akan terus melakukan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.
Pada masa dahulu, merisik tidak dilakukan oleh
keluarga lelaki tersebut apatah lagi yang empunya diri. Ia akan
dilakukan oleh orang lain yang mungkin jiran kepada keluarga gadis itu.
Biasanya gadisyang menjadi pilihan adalah mereka yang pandai memasak,
tahu menjahit, sulam-menyulam, bagaimanapun rupa paras bukanlah sesuatu
yang dititikberatkan.
:: Adat Meminang ::
Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum
berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar
satu rombongan peminangan. Rombongan peminangan selalunya akan diwakili
oleh saudara pihak lelaki yang terdekat. Rombongan ini akan dilengkapi
dengan sirih junjung. Waktu dahulu pembuka bicaranya merupakan pantun.
Keluar asap seperti bunga
Bunga berbentuk kembang melati
Serius benar tuan bertanya
Hajat apakah di dalam hati
Hisap rokok tembakau YunnanKeluar asap berbentuk melatiHendak memetik bunga di tamanItulah hajat di dalam hati
Walaupun pada hakikatnya kedua-dua pihak
telah setuju, namun mengikut adat dahulu, kata putus akan diberikan
beberapa hari selepas rombongan tadi datang. Apabila kata sepakat telah
dicapai barulah pinangan tadi diterima secara sah. Perbincangan akan
berkisar kepada perkara-perkara seperti duit hantaran dan jumlah barang
iringan yang akan dibawa oleh pihak lelaki. Mas kahwin biasanya akan
ditentukan berdasarkan negeri asal atau tempat tinggal pihak perempuan.
Selain itu perbincangan juga berkenaan
jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara pertunangan supaya
memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis
pertunangan kelak.
Pada waktu itu, akan ditentukan juga,
sekiranya sudah bertunang pihak perempuan ingin memutuskan tali
pertunangan tersebut, dia akan membayar segala hanti rugi dua kali ganda
sebagaimana yang diterimanya. Tetapi jika pihak lelaki yang mungkir
janji, segala wang hantaran tersebut akan dikira sebagai tebus ganti dan
tidak akan dikembalikan.
:: Pertunangan ::
Selepas perbincangan diadakan majlis
pertunangan akan diadakan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga
dan saudara mara yang terdekat untuk upacara pertunangan tersebut di
rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sireh atau
sireh junjung sebagai bingkasan utama, sebentuk cincin beserta hantaran
lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih muih, pakaian dan lain-lain
yang telah digubah akan diberi kepada pengantin perempuan.
Mengikut adatnya, sekiranya pihak perempuan
mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga akan
diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran juga
agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu sama ada lima, sembilan, tujuh,
sebelas atau tiga belas. Ini kerana jumlah genap dikatakan memberikan
implikasi yang tidak baik.
Jumlah hantaran yang diberikan oleh pihak
perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat
menghantar belanja juga turut diadakan semasa adat pertunangan ini
dijalankan. Namun begitu ada yang menjalankannya secara berasingan
daripada adat pertunangan iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum
majlis persandingan diadakan.
Upacara itu akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki
menyerahkan tepak sireh kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan
lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini
bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara
rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja
perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal berkaitan.
Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun
mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut
dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki
yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja
yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus.
Sekiranya pihak perempuan yang berbuat demikian,
semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda. Acara
kemuncak majlis pertunangan adalah adat menyarung cincin di mana wakil
pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan
menyarungkan cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu
rasmilah sudah pertunangan tersebut.
Mas Kahwin
Mengikut
masyarakat Melayu, mas kahwin merupakan pemberian ikhlas suami kepada
isteri sebagai tanda penghargaannya. Walau bagaimanapun. mas kahwin
berbeza di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Namun tidak
semuanya mas kahwin berupakan wang. Ada juga yang memilih untuk
memberikan Al-Quran dan barang kemas untuk dijadikan mas kahwin.
Akad
nikah merupakan satu acara penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu
yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan satu adat tetapi lebih kepada
ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan.
Upacara ini dijalankan selepas segala perjanijian yang dilakanakan
seperti wang belanja, mas perkahwinan dan barangan lain sepertimana yang
dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi
ataupun di rumah pengantin perempuan akan dijalankan oleh tok kadi atau
tok imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu
menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga
boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam,
Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di
rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan.
Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu
berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan.
Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis
berzanji atau pukulan kompang diadakan.
Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin
dan lain-lain hantaran diperiksa oleh tok kadi dan dua orang saksi bagi
pihak perempuan.
Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas
sebidang tikar ataupun di atas sebidang tikar ataupun di atas bantal di
tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin
perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan sama ada dia bersetuju atau
tidak dengan pernikahan itu.
Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan
menerangkan secara umum akan tanggungjawab suami isteri dan lain-lain
hal berkaitan rumah tangga dari sudut agama. Selepas itu tok Kadi atau
imam akan melafazkan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin
lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok
Imam menggoncangkan tangannya.
Lafaz nikah berbunyi 'Aku nikahkan dikau
dengan....(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin
sebanyak.....(mengikut negeri) tunai' dan disambut oleh pengantin lelaki
dengan lafaz berbunyi 'Aku terima nikahnya...(sama seperti yang
dilafazkan oleh tok kadi).'
Saksi akan mengesahkan sama ada lafaz tersebut jelas
didengar atau tidak. Sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut
akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan
dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua
mempelai telah selamat diijabkabul.
Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan
upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menarungkan cincin
atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang
dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai
satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.
Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat:-
)) Berinai Curi ((
Diadakan tiga malam sebelum majlis persandingan berlangsung untuk saudara mara terdekat sahaja.
)) Berinai Kecil ((
Diadakan dua malam sebelum majlis persandingan untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
)) Berinai Besar ((
Diadakan satu malam sebelum hari langsung atau
selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan
pihak perempuan.
)) Upacara Berinai ((
Diadakan di rumah pengantin perempuan pada waktu
malam didahului dengan pengantin lelaki duduk di atas pelamin. Ahli
keluarga bergilir-gilir menjalankan upacara berinai. Selepas itu
pengantin perempuan duduk di atas pelamin dan upacara berinai
dijalankan.
Selepas adat berinai besar dijalankan, pengantin
lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan
terus pulang ke rumah ataupun sekiranya rombongan tersebut datang dari
jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak, iaitu rumah
yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.
Persiapan Majlis Persandingan
:
Sebelum majlis ini dijalankan, berbagai persiapan
akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal, khemah tetamu,
menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur.
Tetapi jika majlis persandingan diadakan di hotel, orang yang terlibat
dalam penghiasan pelamin hendaklah menyiapkan pelamin di hotel atau di
dewan tersebut.
Pelamin haruslah diserikan dengan bunga-bunga hidup,
kain-kain yang menarik dan lampu-lampu yang berwarna-warni. Tujuannya
ialah supaya pengantin akan nampak lebih berseri jika duduk di atas
pelamin.
Pelamin juga turut dipanggil singgah sana di sini
juga para keluarga dan tetamu yang hadir akan melaksanakan acara
menepung tawar kedua dua mempelai. Selain itu kek perkahwinan perlu
ditempah untuk menyerikan lagi majlis persandingan. Kek yang bertingkat
adalah pilihan kedua mempelai. Acara ini dijalankan oleh kedua mempelai
pada kemuncak majlis.
Adat dan seni mengundang tetamu tidak diremehkan
dalam masyarakat Melayu. Pada zaman kesultanan Melayu, warkah bertinta
emas, daripada kulit asli, diberi kepada bakal tetamu. Golongan marhain,
cukup sekadar jemputan lisan. Jikalau berdaya, sirih sekapur yang
dikendong di dalam bakul, dihulur seluruh kampung. Kini masyarakat moden
memilih kad pelbagai corak dan bentuk untuk mengundang tetamu. Hiasan
reben, bunga comel dan warna menyerikan kad.
Majlis Persandingan
Majlis
ini juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia
merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin
digelar raja sehari. Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah
dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai.
Kedua-dua mempelai akan memakai pakaian pengantin, lazimnya baju songket
dan dihias indah dengan perhiasannya sekali.
Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam
sebelum persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan
pengantin didahului dengan daun pudina, daun sireh dan daun serapah
ditumbuk dan digosok pada kulit untuk memutihkan kulit. Kemudian
pengantin dijampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi
makan sireh untuk membuang rasa gemuruh.
Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan
dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah
gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini tidak
dilakukan oleh masyarakat Melayu hari ini.
Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang
dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah
pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki disambut
dengan taburan beras kunyit.
Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan
pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke
halaman rumah dan duduk di tempat khas yang disediakan. Pada
kebiasaannya pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan
diadakan. Selepas itu pengantin dibawa naik ke rumah untuk adat
bersanding.
Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa
membayar tebus pintu atau tebus pelamin untuk mendapatkan pengantin
perempuan. Pengantin akan bersanding atas pelamin, dan di situlah
pengantin akan ditepung tawar atau direnjis dengan para tetamu yang
hadir. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini adalah semangkuk
bertih, semangkuk beras kunyit dan semangkuk air tepung tawar. Semasa
menjalankan adat menepung tawar inai dicalitkan dan air tepung tawar
direnjis ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih ditabur di
hadapan pengantin dan kepada para hadirin. Bunga telur diberikan kepada
mereka yang menepung tawar.
Seterusnya makan berdamai atau dipanggil makan
beradab dijalankan. Majlis ini dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua
pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman
dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.
Perlaksanaan Selepas Diamalkan
[ Mandi Sampat ]
Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas
majlis perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara
mandi sampat atau mandi limau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol
kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai suami isteri yang sah.
Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan dimandikan dengan air
mayang pinang, air kelapa dan air limau. Kemudian air yang berlebihan
disimbah kepada kanak-kanak yang berada di situ.
[ Adat Menyambut Menantu ]
Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau
mengundang menantu akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia dipanggil
majlis bertandang. Majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah
pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah
perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang dengan mengadakan
doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung.
Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami isteri
tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara.
Tujuannya untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan