photo image001kf1js1.gif photo pen-dance.gif

Sabtu, 24 Mei 2014

FALSAFAH BERSUMBERKAN MELAYU MENERUSI KARYA AGUNG SEJARAH MELAYU


Menurut Zaini Abdullah (2001), falsafah adalah mengenai pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan tersebut. Falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti ilmu dan nilai. Falsafah juga merupakan pendekatan rasional terhadap sesuatu masalah dan persoalan, di samping merupakan suatu penyiasatan komprehensif dan logik mengenai asas-asas pemikiran semua manusia. Dalam karya agung Sulalatus Salatin akan dibincangkan tentang adat istiadat dan pantang larang di istana yang terdapat dalam karya tersebut.
            Falsafah bersumberkan melayu lebih kepada nilai melayu yang terdapat dalam sesebuah karya agung tersebut. Dalam karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, banyak terakam sejarah dan asal usul adat istiadat Kesultanan Melayu masa silam. Menurut buku Sejarah Melayu juga yang telah di selenggarakan oleh A.Samad Ahmad, beliau berpendapat asal usul adat istiadat Melayu bermula dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Demang Lebar Daun.
 
 Jenis-jenis adat di istana.
 
 Adat mengadap raja di balairung.
Adat mengadap raja di balairung ialah, para pembesar akan disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Pangkat tersebut di mulai dengan bendahara, penghulu bendahari dan temenggung. Mereka akan duduk di seri balai. Kemudian, anak-anak raja pula akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Selepas itu, akan di ikuti dengan sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai.
“ Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka bendahara, dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai”.
                                                                        (Sejarah Melayu, 1978, hal.57)
Adat ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan. Malahan, sehingga sekarang juga adat ini masih diteruskan walaupun tidak semuanya sama dengan yang dahulu. Hal ini demikian kerana, Sultan di anggap orang yang paling mulia, oleh itu sesiapa yang ingin mengadap Sultan haruslah mengetahui tentang adat-adat yang telah ditetapkan.

 Adat menjunjung duli.
Adat menjunjung duli memerlukan empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida yang akan duduk di seri balai. Malahan, segala perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas dan barang sebangainya akan di susun secara diselang selang kedudukannya. Sementara itu, puan dan pedang akan berada dikelekan kiri dan kanan. Manakala, pedang kerajaan akan dipikul oleh laksama atau Seri Bija Diraja.
“ Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang selang duduknya; melainkan puan dan pedang di kelek-kelekan kiri dan kanan: pedang kerajaan itu laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978, hal 54)

Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.
Untuk menyambut kedatangan utusan terdapat adat yang perlu di ikuti. Sambutan terhadap kedatangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya akan menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai dan lain-lain. Jika, sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk menyambutnya akan dikurangkan, cukup sekadar gendang dan serunai sahaja atau berpayung kuning atau bergajah. Walau bagaimanapun, sepersalinan tetap akan diberikan.
“ Jika surat dari Pasi atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan, gendang, serunai, nafiri Negara, paying putih dan perapit; melainkan medali juga yang tiada pergi menjemput itu. …Telah datang ke balai, maka surat disambut oleh hulubalang asal,yakni kepada  bentara yang kiri menyampaikan titah raja kepada utusan, kepada bentara yang di kanan menyampaikan sembah”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978, hal. 57)
Dalam adat ini, pihak yang lebih berkuasa akan dihormati. Dengan itu, untuk menyambut utusannya akan di buat secara besar-besaran. Malahan, pihak tersebut juga berkemungkinan mempunyai kekuasaan yang amat kuat dan terpengaruh di rantau tersebut. Dengan itu, jika tidak menyambutnya dengan cara yang terhormat, berkemungkinan akan memberi kesan kepada sesebuah kerajaan kelak


 Adat menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh.
Adat ini kebiasaannya akan di lakukan pada waktu siang. Pada waktu siangnya sejadah akan di arak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan di bawa terlebih dahulu ke masjid. Kemudian, keesokkannya, Laksamana akan mengarakkan serban. Selepas itu, Raja-raja Melayu akan berangkat ke masjid dengan bertengkolok dan berbaju sarung.
“Hatta, jikalau pada bulan Ramadan malam dua puluh tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid, Temenggong mengepalai gajah. …Telah esok harinya, maka Laksamana mengarak serban kerana adat Raja Melayu berangkat ke masjid bertengkolok berbaju sarung”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978,hal.60)
         
Pantang larang dalam adat istiadat di istana.

Larangan memakai barangan berwarna kuning.
Orang-orang kebanyakkan di larang memakai sapu tangan, tepi tabir dan bantal besar yang berwarna kuning. Kain baju, destar yang berwarna kuning boleh dipakai sekiranya di anugerahkan oleh raja.
            Hal ini demikian kerana, warna kuning dan putih merupakan warna di raja. Oleh itu, orang kebanyakkan di larang memakai kecuali ketika mendapat undangan yang berkaitan dengan istana. Namun, pada masa sekarang telah ramai orang kebanyakkan yang memakai baju berwarna kuning atau putih biarpun tidak mendapat undangan untuk ke istana. Walau bagaimanapun, mereka tetap menghormati warna kuning dan putih kerana warna tersebut merupakan warna rasmi untuk istana.
“Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan saru tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir danulasan bantal besar dan tilam”...
Larangan bertengkolok dan berbaju sarung.
Pada zaman pemerintahan sultan dahulu, rakyat biasa tidak dibenarkan memakai baju sarung dan bertengkolok pada hari perkahwinan kecuali apabila dikurniakan oleh raja. Sekiranya adat ini tidak dipatuhi, rakyat tersebut akan dikenakan hukuman denda.
            Pemakaian baju sarung dan bertengkolok tidak dibenarkan kerana pakaian tersebut merupakan pakaian sultan ataupun pembesar-pembesar di istana. Oleh itu, jika rakyat memakai pakaian tersebut berkemungkinan ia di anggap menghina pakaian kaum kerabat istana dan mungkin di anggap setaraf dengan rakyat biasa.
 
 Larangan berkelakuan biadap terhadap raja dan pembesar.
Rakyat mesti menghormati raja dan pembesar. Hal ini demikian kerana, raja dan pembesar merupakan orang yang penting dalam mentadbir sesebuah Negara. Keamanan dan kemakmuran sesebuah Negara merupakan hasil daripada kerja keras dan pentadbiran yang sistematik daripada raja dan pembesar.
            Dengan itu, sesiapa yang ingkar akan larangan adat tersebut akan di jatuhkan hukuman bunuh. Hal ini dapat di lihat dalam Sejarah Melayu tentang Perpatih Hitam yang cuba dibunuh oleh Laksaman kerana menguis tikar di hadapan bendahara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan