photo image001kf1js1.gif photo pen-dance.gif

Isnin, 26 Mei 2014

Ilmu Persilatan Melayu

Seni mempertahankan diri atau “silat” telah muncul sejak berabad lamanya. Silat selain daripada mempertahankan diri juga merupakan aktiviti yang dapat menyihatkan badan. Usia silat tidak dapat dipastikan dengan jelas kerana terdapat pelbagai tanggapan yang telah dibuat berkaitan usia ilmu persilatan ini.Ilmu persilatan ini diwarisi dari generasi ke generasi. Senjata yang digunakan pesilat adalah seperti keris, badik, kerambit, parang,lading dan banyak lagi. Silat terbahagi kepada dua jenis iaitu silat bersenjata dan juga silat tempur tangan kosong. Bagi pesilat yang masih baru belajar, kebiasaanya akan diajar silat tempur tangan kosong sebelum menggunakan senjata. Pergerakan silat terbahagi kepada bunga iaitu pergerakan seolah-olah tarian dan buah iaitu pukulan. Silat juga terbahagi kepada dua iaitu silat tempur dan silat persembahan. Perbezaan kedua-dua ini adalah silat tempur digunakan untuk pertempuran manakala silat persembahkan kebiasaanya dipersembahkan ketika majlis keramaian atau majlis perkahwinan.
Dalam Sulalatus Salatin ilmu persilatan ini digambarkan melalui Watak Hang Tuah dan Hang Jebat yang dikatakan mempunyai guru yang sama dan telah menjadi sahabat karib hasil dan mempelajari ilmu persilatan dari guru yang sama. Keris juga merupakan senjata utama yang digunakan oleh Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Tuah telah menjadi laksama Melaka disebabkan oleh kemahiranya dalam ilmu persilatan. Dalam peperangan antara Melaka menentang musuh ketika diserang juga menggunakan silat dalam pertempuran. Ketika amukan Hang Jebat ketika mengetahui kematian sahabatnya Hang Tuah juga membuktikan ilmu persilatan dan alam Melayu tidak dapat dipisahkan. Hingga hari ini, ilmu persilatan masih kekal menjadi warisan yang berharga kepada masyarakat Melayu. Hal ini diteruskan oleh kerajaan yang telah mengiktirah silat sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di peringat dalam dan luar Negara.
PEMBENARAN (PENTAHQIQKAN) SOROTAN PERSILATAN ZOHIRIAH - SILAT LAKSAMANA HANG TUAH.
Berdasarkan gambaran oleh pengarang cerita Hang Tuah tentang ilmu dan teknik persilatan Hang Tuah ini bolehlah dianggap Silat Hang Tuah ini menjadi salah satu induk atau tonggak utama kepada keberkesanan seni beladiri Melayu bagi pelbagai teknik dan resam silat silat Melayu asli yang ada pada hari ini di Nusantara Melayu dengan berbagai namanya dan berbagai corak serta kaedah persilatannya. Namun Silat Melayu yang betul-betul asli mengikut kaedah Silat Hang Tuah ialah mana-mana silat yang menggunakan senjata-senjata yang pernah digunakan Hang Tuah dalam pembelajaran persilatannya seperti pisau, parang, keris pendek (keris pendua), keris Panjang (keris Utama), kapak, tombak, pedang, lembing – seligi dan panah walaupun persilatannya tidak menyamai taraf kehebatan Pahlawan Agong Melayu itu. Namun begitu boleh juga dianggap bahawa Hang Tuah tetap handal berlawan dengan teknik tangan kosong walaupun dalam cerita-cerita pertempurannya atau pergelutan beliau dengan para lawannya dalam hikayat ini tiada sekali pun menyatakan beliau berlawan atau bergelut dengan menggunakan tangan kosong sahaja kerana sudah lumrah dan ma`alum kepada semua bahawa dalam persilatan Melayu jika seseorang boleh bertempur dengan menggunakan senjata tradisional maka secara mudahnya pula ia boleh berlawan atau menguasai teknik menggunakan tangan kosong. Hal ini terbukti Hang Tuah ada menari tarian silat bertangan kosong dalam beberapa majlis keraian di istana sama ada di Melaka atau di Majapahit. Dengan hujah ini tidaklah boleh dianggap jika sesebuah perguruan persilatan Melayu yang ada hari ini tidak mengajar bagaimana cara menggunakan senjata senjata tradisional Melayu sebagai bukan silat Melayu yang asli. Namun berdasarkan sorotan ini, silat Laksamana Hang Tuah melalui gambaran hikayatnya, penggunaan senjata senjata tradisi dalam persilatan Melayu asli adalah suatu perkara pepakan malai terutama bagi silat Melayu asli yang berasal dari benih Silat Laksamana Hang Tuah sendiri.
Gambaran sebenar teknik ilmu persilatan Melayu Asli zaman Laksamana Hang Tuah dapat dikesani dari riwayat semua babak-babak pertarungan bersenjata atau pergelutan Hang Tuah secara perseorangan ataupun babak pertarungan beliau bersama empat sahabatnya dengan musoh-musoh mereka yang ingin membunoh mereka atau yang ingin memusnahkan misi para pahlawan Melayu itu iaitu sebagai seorang panglima dan Laksamana dan sebagai hulubalang hulubalang Melayu zaman kemuncak kegemilangan Empayer Laut Melayu Melaka di zaman pemerintahan Sultan Mansyur Shah dan Zaman bermula kejatuhan Melaka ke tangan Portugis (tahun 1511M) iaitu di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah.
Para sarjana timur dan barat ramai yang berpendapat Hikayat Hang Tuah bahagian pertama iaitu bahagian pertarungan (perlawanan) kerana melaksanakan misi dan zaman menuju puncak kegemilangan kerajaan Melaka adalah ditulis oleh seorang pengarang tertentu dan bahagian kedua iaitu bahagian pengembaraan Hang Tuah ke negara-negara besar zamannya seperti Siam, India, Cina, Turki dan Rom adalah dikarang oleh seorang pengarang yang lain. Walau bagaimanapun bahagian pengembaraan Hang Tuah ke India dan Siam masih boleh dianggap ianya ditulis oleh pengarang bahagian pertama juga kerana gambaran teknik persilatan Hang Tuah dan pertarungan pedang yang cukup dramatik, mahir dan hebat oleh Hang Tuah menentang pendekar `Benua Keling` (India) dan menentang pendekar Jepun (Samurai?) lebih kurang sama dengan kaedah persilatan Laksamana Hang Tuah bahagian pertama hikayat Hang Tuah ini. Cerita bahagian Pertarungan Hang Tuah dengan musoh-musoh beliau berkemungkinan besar ditulis selepas sahaja serangan Portugis ke atas Melaka. (Sila rujuk bahasannya pada buku Hang Tuah. DBP, Ogos 1963 atas tajuk:Pengenalan ms Xii ).
Melalui bahasan itu dapatlah kita membuat suatu rumusan bahawa pengarang Hikayat Hang Tuah bahagaian pertama adalah seorang yang arif dalam ilmu persilatan Melayu zamannya (Zaman hikayat bahagian pertama ini ditulis) sebab gambaran kehebatan persilatan Hang Tuah yang digambarkan beliau mungkin suatu khayalan minda sedar penulisannya yang memang dipengaruhi ilmu atau teknik persilatan sama ada yang pernah dialaminya, dipelajarinya atau yang pernah dilihatnya sendiri atau pun diceritakan orang di zamannya kepada beliau. Seseorang tidak dapat menulis dengan baik dan tepat akan sesuatu perkara tampa ada unsur-unsur pengalaman diri seperti perkara yang tersebut itu. Mengikut sasterawan Negara, Kassim Ahmad dalam aluan kata pengenalan dalam buku Hang Tuah keluaran DB. 1963 tersebut mengenai kekaliberan pengarang Hikayat Hang Tuah mengenai ilmu persilatan Melayu seperti berikut:
“…Dan sesungguhnya, boleh dikatakan semua temasha2 pertikaman antara Hang Tuah atau Hang Tuah dan teman temannya di satu pehak dengan musoh2 Melaka di pehak yang lain dilukiskan dengan gaya yang amat menghairahkan. Bukan saja dalam melukiskan temasha2 pertikaman pengarang ini handal, tangannya tidak kurang hidup mengendalikan peristiwa yang lebih biasa (luar biasa-p).” (ms. xiv)
Jelas kepada kita sekarang gambaran teknik persilatan Hang Tuah dan para sahabatnya zaman 500 tahun yang lampau itu adalah gambaran Seni Silat Melayu Asli yang sejati oleh pengarangnya kerana pada zaman itu boleh dikatakan belum ada lagi sebarang pengaruh seni beladiri asing (jika ada) yang dikhuatiri mempengaruhi teknik dan palsafahnya dalam seni beladiri Melayu iaitu Seni Silat. Oleh yang demikian gambaran sebenar teknik dan palsafah Seni Silat Melayu Asli yang sejati seperti zaman Hang Tuah dapat kita ketahui melalui beberapa sudut kajian terhadap babak-babak pertarungan Hang Tuah dan sahabat-sahabat beliau dengan para pencabar yang ingin membunuhnya seperti berikut;

Perkahwinan Dalam Masyarakat Melayu


:: Adat Merisik ::
Adat ini juga dipanggil meninjau dan menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seseorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang.
Di samping itu adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan dengan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.
Bagi pihak gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki. Antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.
Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan.Walau bagaimanapun, adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu. Justeru itu, mereka akan terus melakukan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.
Pada masa dahulu, merisik tidak dilakukan oleh keluarga lelaki tersebut apatah lagi yang empunya diri. Ia akan dilakukan oleh orang lain yang mungkin jiran kepada keluarga gadis itu. Biasanya gadisyang menjadi pilihan adalah mereka yang pandai memasak, tahu menjahit, sulam-menyulam, bagaimanapun rupa paras bukanlah sesuatu yang dititikberatkan.

:: Adat Meminang ::
Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Rombongan peminangan selalunya akan diwakili oleh saudara pihak lelaki yang terdekat. Rombongan ini akan dilengkapi dengan sirih junjung. Waktu dahulu pembuka bicaranya merupakan pantun.
Keluar asap seperti bunga
Bunga berbentuk kembang melati
Serius benar tuan bertanya
Hajat apakah di dalam hati
Hisap rokok tembakau Yunnan
Keluar asap berbentuk melati
Hendak memetik bunga di taman
Itulah hajat di dalam hati
Walaupun pada hakikatnya kedua-dua pihak telah setuju, namun mengikut adat dahulu, kata putus akan diberikan beberapa hari selepas rombongan tadi datang. Apabila kata sepakat telah dicapai barulah pinangan tadi diterima secara sah. Perbincangan akan berkisar kepada perkara-perkara seperti duit hantaran dan jumlah barang iringan yang akan dibawa oleh pihak lelaki. Mas kahwin biasanya akan ditentukan berdasarkan negeri asal atau tempat tinggal pihak perempuan.
Selain itu perbincangan juga berkenaan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara pertunangan supaya memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.
Pada waktu itu, akan ditentukan juga, sekiranya sudah bertunang pihak perempuan ingin memutuskan tali pertunangan tersebut, dia akan membayar segala hanti rugi dua kali ganda sebagaimana yang diterimanya. Tetapi jika pihak lelaki yang mungkir janji, segala wang hantaran tersebut akan dikira sebagai tebus ganti dan tidak akan dikembalikan.

:: Pertunangan ::
Selepas perbincangan diadakan majlis pertunangan akan diadakan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara yang terdekat untuk upacara pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sireh atau sireh junjung sebagai bingkasan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pengantin perempuan.
Mengikut adatnya, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga akan diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran juga agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu sama ada lima, sembilan, tujuh, sebelas atau tiga belas. Ini kerana jumlah genap dikatakan memberikan implikasi yang tidak baik.
Jumlah hantaran yang diberikan oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja juga turut diadakan semasa adat pertunangan ini dijalankan. Namun begitu ada yang menjalankannya secara berasingan daripada adat pertunangan iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan diadakan.
Upacara itu akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sireh kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal berkaitan.
Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus.
Sekiranya pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda. Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat menyarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.


Mas Kahwin

Mengikut masyarakat Melayu, mas kahwin merupakan pemberian ikhlas suami kepada isteri sebagai tanda penghargaannya. Walau bagaimanapun. mas kahwin berbeza di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Namun tidak semuanya mas kahwin berupakan wang. Ada juga yang memilih untuk memberikan Al-Quran dan barang kemas untuk dijadikan mas kahwin.


Akad Nikah
 
Akad nikah merupakan satu acara penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan satu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanijian yang dilakanakan seperti wang belanja, mas perkahwinan dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi ataupun di rumah pengantin perempuan akan dijalankan oleh tok kadi atau tok imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam,
Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan.
Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran diperiksa oleh tok kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan.
Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar ataupun di atas sebidang tikar ataupun di atas bantal di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan sama ada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu.
Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggungjawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumah tangga dari sudut agama. Selepas itu tok Kadi atau imam akan melafazkan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok Imam menggoncangkan tangannya.
Lafaz nikah berbunyi 'Aku nikahkan dikau dengan....(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak.....(mengikut negeri) tunai' dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi 'Aku terima nikahnya...(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi).'
Saksi akan mengesahkan sama ada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak. Sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.
Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.


Adat Berinai

Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat:-

)) Berinai Curi ((
Diadakan tiga malam sebelum majlis persandingan berlangsung untuk saudara mara terdekat sahaja.
)) Berinai Kecil ((
Diadakan dua malam sebelum majlis persandingan untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
)) Berinai Besar ((
Diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.
)) Upacara Berinai ((
Diadakan di rumah pengantin perempuan pada waktu malam didahului dengan pengantin lelaki duduk di atas pelamin. Ahli keluarga bergilir-gilir menjalankan upacara berinai. Selepas itu pengantin perempuan duduk di atas pelamin dan upacara berinai dijalankan.
Selepas adat berinai besar dijalankan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah ataupun sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

Persiapan Majlis Persandingan
                      :


Sebelum majlis ini dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur. Tetapi jika majlis persandingan diadakan di hotel, orang yang terlibat dalam penghiasan pelamin hendaklah menyiapkan pelamin di hotel atau di dewan tersebut.
Pelamin haruslah diserikan dengan bunga-bunga hidup, kain-kain yang menarik dan lampu-lampu yang berwarna-warni. Tujuannya ialah supaya pengantin akan nampak lebih berseri jika duduk di atas pelamin.
Pelamin juga turut dipanggil singgah sana di sini juga para keluarga dan tetamu yang hadir akan melaksanakan acara menepung tawar kedua dua mempelai. Selain itu kek perkahwinan perlu ditempah untuk menyerikan lagi majlis persandingan. Kek yang bertingkat adalah pilihan kedua mempelai. Acara ini dijalankan oleh kedua mempelai pada kemuncak majlis.
Adat dan seni mengundang tetamu tidak diremehkan dalam masyarakat Melayu. Pada zaman kesultanan Melayu, warkah bertinta emas, daripada kulit asli, diberi kepada bakal tetamu. Golongan marhain, cukup sekadar jemputan lisan. Jikalau berdaya, sirih sekapur yang dikendong di dalam bakul, dihulur seluruh kampung. Kini masyarakat moden memilih kad pelbagai corak dan bentuk untuk mengundang tetamu. Hiasan reben, bunga comel dan warna menyerikan kad.

Majlis Persandingan
Majlis ini juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari. Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya sekali.

Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului dengan daun pudina, daun sireh dan daun serapah ditumbuk dan digosok pada kulit untuk memutihkan kulit. Kemudian pengantin dijampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh untuk membuang rasa gemuruh.
Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini tidak dilakukan oleh masyarakat Melayu hari ini.
Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki disambut dengan taburan beras kunyit.
Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang disediakan. Pada kebiasaannya pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan. Selepas itu pengantin dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding.
Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa membayar tebus pintu atau tebus pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Pengantin akan bersanding atas pelamin, dan di situlah pengantin akan ditepung tawar atau direnjis dengan para tetamu yang hadir. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini adalah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit dan semangkuk air tepung tawar. Semasa menjalankan adat menepung tawar inai dicalitkan dan air tepung tawar direnjis ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih ditabur di hadapan pengantin dan kepada para hadirin. Bunga telur diberikan kepada mereka yang menepung tawar.
Seterusnya makan berdamai atau dipanggil makan beradab dijalankan. Majlis ini dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Perlaksanaan Selepas Diamalkan
[ Mandi Sampat ]

Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi limau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa dan air limau. Kemudian air yang berlebihan disimbah kepada kanak-kanak yang berada di situ.

[ Adat Menyambut Menantu ]
Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia dipanggil majlis bertandang. Majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang dengan mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung. Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami isteri tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara keluarga.

ketokohan dan sumbangan Nuruddin Ar - Raniri

Latar Belakang


Berasal dari daerah Ranir, Gujerat India
Keturunan campuran Arab-India.
Tarikh lahir tidak diketahui.
Pendidikan awal diterima di Ranir, kemudian ke Hadramaut dan Mekah.
Fasih bertutur dalam bahasa Melayu kerana pergaulannya dengan orang Melayu di Mekah.
Pertama kali sampai ke Aceh pada tahun 1631 pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Fahamannya Ahlul Sunnah kurang mendapat sambutan ketika itu kerana pengaruh Wahdatul Wujud yang dipelopori oleh Hamzah Fansuri sedang berkembang luas di Aceh.
Nuruddin kembali ke Aceh pada tahun 1637 pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani.  Fahamannya mula mendapat perhatian dan dilantik sebagai mufti.
Nuruddin kembali ke Ranir India pada tahun 1644 dan meninggal pada 1658.

SUMBANGAN KARYA

Syeikh Nuruddin Al Raniri merupakan pengarang kitab-kitab agama yang berfahaman Ahlul Sunnah yang bertujuan menolak aliran Wahdatul Wujud.
Nuruddin mengarang pelbagai bidang agama termasuk ilmu fikah, usuluddin, tasawuf, hadis dan lain-lain.
Beliau telah menghasilkan lebih daripada 31 buah kitab antaranya termasuklah:

a.  Bustan al Salatin
Sebuah kitab Ketatanegaraan bertujuan sebagai panduan pemerintahan. Mengandungi 7 bab dan beberapa fasal.  Isinya membicarakan pelbagai jenis ilmu seperti firasat dan perubatan.  Turut membincangkan konsep kejadian alam dan kisah nabi-nabi.

b. Siratul Mustaqim
Sebuah kitab ilmu fikah yang membicarakan berbagai hukum Islam.  Membicarakan tentang ibadat dalam Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain.  Kitab ini juga turut membahaskan tentang hukum-hukum qurban, berburu dan soal halal dan haram dalam makanan.

c.  Akhbar Al Akhirat
Sebuah kitab mengandungi hal-hal penciptaan Muhammad, Adam, maut, tanda-tanda kiamat, syurga neraka dan lain-lain.  Isi kitab adalah saduran daripada kitab karangan Imam Al Ghazali.

d.  Jawahir Al Ulum
Kitab yang menghuraikan tentang fahaman sufi dan memuatkan peraturan-peraturan ilmu.  Ia juga merupakan sebuah kitab dalam bahasa Melayu yang membahaskan falsafah mistik dengan mendalam.

e.  Syifa Al Qulub
Sebuah kitab dalam bahasa Melayu yang membicarakan cara-cara berzikir kepada Allah s.w.t

f. Asrar Al Ihsan Fi Makrifat Ar Ruh Ar Rahman
Sebuah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab yang membahaskan tentang manusia terutama roh, sifat, hakikat serta hubungan manusia dengan tuhan. Ia turut mengandungi perdebatan tentang roh dengan Hamzah Fansuri.

g.  Kitab Hillal Zil
Seperti Tabyan Fi Makrifat, Syafaul Kulub dan Hujjatus Sidik.  Merupakan kitab yang mengandungi ajaran dan kepercayaan aliran ahlul sunnah yang ditulis bertujuan menentang ajaran Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Al Sumaterani.
 
 PERANAN DAN KEDUDUKAN.

Seorang pengarang yang mahir dalam soal keagamaan dan juga merupakan seorang guru agama yang berpengalaman luas dan berkebolehan dalam pelbagai disiplin ilmu.

Seorang pengarang yang terkenal dalam bidang agama dan banyak menghasilkan buku-buku, kitab tasawuf, mistik dan sufi.

Seorang ulama yang berpegang teguh pada aliran ahlul sunnah (Isnainiayah) dan berusaha menentang aliran Wahdatul Wujud yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam dan zindik.

Seorang tokoh pentadbir yang dihormati dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani.  Beliau pernah dilantik sebagai mufti dan sangat berpengaruh kepada sultan.  Nasihat dan pengaruh beliaulah menyebabkan hasil-hasil karya Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Al Sumaterani telah diperintahkan dibakar oleh Sultan Iskandar Thani.
JENIS-JENIS DAN CIRI-CIRI RETORIK

Jenis-jenis dan Ciri-ciri Retorik
Terdapat enam jenis ciri-ciri retorik yang akan dikupas dalam bahagian ini. Keadaan ini dapat dilihat seperti huraian di bawah:

               Pemerian
Kebiasaannya retorik jenis pemerian ini hadir ketika penulis ingin melakukan penjelasan atau huraian berkaitan sesuatu idea. Retorik ini bermatlamat untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Di antara cirri-ciri pemerian ialah dilaksanakan secara objektif, tepat dan jelas. Contohnya memberi gambaran secara realistic berdasarkan fakta yang konkrit. Kedua, bahasa yang digunakan adalah jelas dan tersusun. Struktur penulisannya juga mempunyai pendahuluan, huraian dan kesimpulan dan yang ketiga teknik ini bersifat deskriptif dan informative. Deskriptif bermaksud maklumat yang disampaikan secara huraian manakala informative pula adalah maklumat yang disampaikan secara pemberitahuan. 
      Pemujukan
Retorik pemujukan atau pengaruhan lazimnya akan melibatkan bahasa pujukan bagi mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri retorik pemujukan ialah menggunakan bahasa yang manis, menarik dan mementingkan kehalusan berbahasa. Hal ini bertujuan menarik khalayak berdasarkan pengaruh psikologi dengan menyatakan kehebatan atau kebaikan Sesutu yang sedang diperkatakan. Kebiasaannya kita temui retorik ini dalam pengiklanan. 
      Penerangan
Seterusnya ialah retorik penerangan. Retorik ini berfungsi untuk memberi penjelasan berkenaan sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun misalnya dari satu langkah kepada langkah yang lain dan dari satu bahagian kepada bahagian yang seterusnya.
        Penceritaan
Retorik penceritaan atau boleh juga dikenali sebagai naratif bermaksud bentuk penyampaian melalui cerita sama ada dalam bentuk penulisan mahu pun lisan. Di antara contoh retorik penceritaan dalam penulisan ialah cerpen, novel, drama dan sebagainya.retorik penceritaan ini dapat dikenalpasti apabila mempunyai pendahuluan, perkembangan cerita, konflik dan peleraian. Selain itu, biasanya retorik ini menggunakan gaya bahasa imejan, perlambangan, metafora, personafikasi dan banyak lagi. 
              Pendedahan
Definisi retorik pendedahan ialah bentuk retorik yang mendedahkan, menampakkan sesuatu atau menunjukkan sesuatu perihal dengan jelas dan terperinci. Matlamat retorik ini digunakan diantaranya ialah memberikan idea atau maklumat kepada khlayak. Ciri-ciri retorik jenis ini ialah memberikan takrifan, dihuraikan secara jelas dan diserta dengan perbandingan. 
     Penghujahan
Retorik yang terakhir ialah retorik jenis penghujahan. Retorik penghujahan ini membawa maksud pemujukan rasional atau intelek. Biasanya retorik jenis ini digunakan dalam perbahasan, perdebatan, pembicaraan, forum dan penulisan akademik. Di antara cirri-ciri penghujahan ialah memerlukan khalayak bersetuju dan yakin dengan pendapat yang dikemukakan serta haruslah disokong dengan bukti yang konkrit dan jelas. Teknik penyampaian retorik jenis ini terbahagi kepada dua iaitu secara deduksi dan induksi.

Sabtu, 24 Mei 2014

FALSAFAH BERSUMBERKAN MELAYU MENERUSI KARYA AGUNG SEJARAH MELAYU


Menurut Zaini Abdullah (2001), falsafah adalah mengenai pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan tersebut. Falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti ilmu dan nilai. Falsafah juga merupakan pendekatan rasional terhadap sesuatu masalah dan persoalan, di samping merupakan suatu penyiasatan komprehensif dan logik mengenai asas-asas pemikiran semua manusia. Dalam karya agung Sulalatus Salatin akan dibincangkan tentang adat istiadat dan pantang larang di istana yang terdapat dalam karya tersebut.
            Falsafah bersumberkan melayu lebih kepada nilai melayu yang terdapat dalam sesebuah karya agung tersebut. Dalam karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, banyak terakam sejarah dan asal usul adat istiadat Kesultanan Melayu masa silam. Menurut buku Sejarah Melayu juga yang telah di selenggarakan oleh A.Samad Ahmad, beliau berpendapat asal usul adat istiadat Melayu bermula dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Demang Lebar Daun.
 
 Jenis-jenis adat di istana.
 
 Adat mengadap raja di balairung.
Adat mengadap raja di balairung ialah, para pembesar akan disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Pangkat tersebut di mulai dengan bendahara, penghulu bendahari dan temenggung. Mereka akan duduk di seri balai. Kemudian, anak-anak raja pula akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Selepas itu, akan di ikuti dengan sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai.
“ Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka bendahara, dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai”.
                                                                        (Sejarah Melayu, 1978, hal.57)
Adat ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan. Malahan, sehingga sekarang juga adat ini masih diteruskan walaupun tidak semuanya sama dengan yang dahulu. Hal ini demikian kerana, Sultan di anggap orang yang paling mulia, oleh itu sesiapa yang ingin mengadap Sultan haruslah mengetahui tentang adat-adat yang telah ditetapkan.

 Adat menjunjung duli.
Adat menjunjung duli memerlukan empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida yang akan duduk di seri balai. Malahan, segala perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas dan barang sebangainya akan di susun secara diselang selang kedudukannya. Sementara itu, puan dan pedang akan berada dikelekan kiri dan kanan. Manakala, pedang kerajaan akan dipikul oleh laksama atau Seri Bija Diraja.
“ Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang selang duduknya; melainkan puan dan pedang di kelek-kelekan kiri dan kanan: pedang kerajaan itu laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978, hal 54)

Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.
Untuk menyambut kedatangan utusan terdapat adat yang perlu di ikuti. Sambutan terhadap kedatangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya akan menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai dan lain-lain. Jika, sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk menyambutnya akan dikurangkan, cukup sekadar gendang dan serunai sahaja atau berpayung kuning atau bergajah. Walau bagaimanapun, sepersalinan tetap akan diberikan.
“ Jika surat dari Pasi atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan, gendang, serunai, nafiri Negara, paying putih dan perapit; melainkan medali juga yang tiada pergi menjemput itu. …Telah datang ke balai, maka surat disambut oleh hulubalang asal,yakni kepada  bentara yang kiri menyampaikan titah raja kepada utusan, kepada bentara yang di kanan menyampaikan sembah”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978, hal. 57)
Dalam adat ini, pihak yang lebih berkuasa akan dihormati. Dengan itu, untuk menyambut utusannya akan di buat secara besar-besaran. Malahan, pihak tersebut juga berkemungkinan mempunyai kekuasaan yang amat kuat dan terpengaruh di rantau tersebut. Dengan itu, jika tidak menyambutnya dengan cara yang terhormat, berkemungkinan akan memberi kesan kepada sesebuah kerajaan kelak


 Adat menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh.
Adat ini kebiasaannya akan di lakukan pada waktu siang. Pada waktu siangnya sejadah akan di arak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan di bawa terlebih dahulu ke masjid. Kemudian, keesokkannya, Laksamana akan mengarakkan serban. Selepas itu, Raja-raja Melayu akan berangkat ke masjid dengan bertengkolok dan berbaju sarung.
“Hatta, jikalau pada bulan Ramadan malam dua puluh tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid, Temenggong mengepalai gajah. …Telah esok harinya, maka Laksamana mengarak serban kerana adat Raja Melayu berangkat ke masjid bertengkolok berbaju sarung”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978,hal.60)
         
Pantang larang dalam adat istiadat di istana.

Larangan memakai barangan berwarna kuning.
Orang-orang kebanyakkan di larang memakai sapu tangan, tepi tabir dan bantal besar yang berwarna kuning. Kain baju, destar yang berwarna kuning boleh dipakai sekiranya di anugerahkan oleh raja.
            Hal ini demikian kerana, warna kuning dan putih merupakan warna di raja. Oleh itu, orang kebanyakkan di larang memakai kecuali ketika mendapat undangan yang berkaitan dengan istana. Namun, pada masa sekarang telah ramai orang kebanyakkan yang memakai baju berwarna kuning atau putih biarpun tidak mendapat undangan untuk ke istana. Walau bagaimanapun, mereka tetap menghormati warna kuning dan putih kerana warna tersebut merupakan warna rasmi untuk istana.
“Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan saru tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir danulasan bantal besar dan tilam”...
Larangan bertengkolok dan berbaju sarung.
Pada zaman pemerintahan sultan dahulu, rakyat biasa tidak dibenarkan memakai baju sarung dan bertengkolok pada hari perkahwinan kecuali apabila dikurniakan oleh raja. Sekiranya adat ini tidak dipatuhi, rakyat tersebut akan dikenakan hukuman denda.
            Pemakaian baju sarung dan bertengkolok tidak dibenarkan kerana pakaian tersebut merupakan pakaian sultan ataupun pembesar-pembesar di istana. Oleh itu, jika rakyat memakai pakaian tersebut berkemungkinan ia di anggap menghina pakaian kaum kerabat istana dan mungkin di anggap setaraf dengan rakyat biasa.
 
 Larangan berkelakuan biadap terhadap raja dan pembesar.
Rakyat mesti menghormati raja dan pembesar. Hal ini demikian kerana, raja dan pembesar merupakan orang yang penting dalam mentadbir sesebuah Negara. Keamanan dan kemakmuran sesebuah Negara merupakan hasil daripada kerja keras dan pentadbiran yang sistematik daripada raja dan pembesar.
            Dengan itu, sesiapa yang ingkar akan larangan adat tersebut akan di jatuhkan hukuman bunuh. Hal ini dapat di lihat dalam Sejarah Melayu tentang Perpatih Hitam yang cuba dibunuh oleh Laksaman kerana menguis tikar di hadapan bendahara.

PRINSIP KESEMPURNAAN BERBAHASA DALAM SERAT CENTHINI









PRINSIP PERTAMA: BERBAHASA MENGIKUT NAHU

Pelbagai bentuk binaan ayat telah digunakan dalam karya Melayu zaman dahulu. Karya Serat Centhini yang mengandungi 3 Jilid ini juga merupakan salah sebuah karya melayu lama yang banyak menggunakan bahasa jawa dalam penulisannya. Serat Centhini berbentuk tembang (puisi). Tembang digunakan supaya pembaca tidak terlalu terpengaruh dengan perkataan yang kurang elok di dalamnya. Tembang yang digunakan dalam karya ini ialah dengan menggunakan bahasa jawa.




Penulisan yang digunakan dalam karya ini juga banyak meggunakan bahasa jawa kuno yang bersifat naratif. Perkataan naratif berasal daripada perkataan ‘narasi’ yang bermaksud pengisahan sesuatu cerita atau kajian. Naratif merupakan rangkaian kalimat yang bersifat narasi atau menghuraikan atau dalam perkataan lain naratif dikatakan sebagai prosa yang subjeknya merupakan suatu rangkaian kejadian. Naratif mengandungi unsur judul, orientasi, komplikasi dan resolusi. Naratif menceritakan kejadian atau peristiwa dalam runtutan waktu yang komplek. Seperti yang kita tahu, bahasa jawa mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana, bahasa jawa itu sendiri merupakan bahasa yang unggul dan bahasa jawa merupakan bahasa yang berasal daripada bahasa sanskrit yang memiliki erti ‘sempurna’ atau ‘tinggi’.



PRINSIP KEDUA: BERBAHASA UNTUK MENYAMPAIKAN MAKLUMAT YANG BENAR

Dalam karya Serat Centhini, penulis telah mengarang hasil karya ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat yang benar. Terdapat pelbagai cara yang ditunjukkan oleh penulis untuk menyampaikan makumat dalam penghasilan karya Serat Centhini ini. Sebagai contoh, penulis memasukkan atau menyampaikan ilmu ke dalam karya yang dihasilkan, iaitu Serat Chentini. Dalam hasil karya Jawa iaitu Serat Chentini, terdapat ilmu firasat di dalamnya. Contoh ilmu firasat dalam Serat Centhini ialah:

Ilmu Firasat Dalam Serat Centhini : Centhini Tambangraras – Amongraga Jilid III
            Ki Wanakarta menjawab, “Anakku, pada waktu saya muda tinggal di ibukota Mataram, berteman dengan Ki Pujangkara.
            Banyak ilmu yang diajarkannya, yaitu ilmu esmu (isim) dan jaya (menang), perdukunan dan jampi-jampi. Kebetulan sekali termakbul semuanya. Siang malam banyak sekali yang datang, lama-kelamaan saya semakin sibuk, ibarat tidak sempat buang air besar. Lama kelamaan semakin tua, badan saya sering sakit, jika tidak bekerja merasa sungkan karena mengecewakan sanak saudara. Kemudian berunding dengan istri saya, untuk pergi sahaja dari kota, mencari ketenteraman hati. Lebih baik pergi ke daerah yang sepi. Ki Pujangkara menyetujui, dan menyuruh tinggal di sini. Namun saudara-saudara di kota, pria dan wanita banyak yang datang kemari, minta jamu pada istri saya, atau bertanya kepada kami, misalnya tentang firasat wanita yang ingin di jadikan istri, berdasarkan hari kelahirannya, yaitu pasaran (hari yang berjumlah lima) dan harinya (yang berjumlah tujuh).” (245:36-49)
(Centhini Tambangraras-Amongraga Jilid 3:276)

Berdasarkan petikan yang dinyatakan itu menggambarkan bahawa bertapa sibuknya Ki Wanakarta kerana beliau dikunjungi orang ramai kerana orang ramai menginginkan beliau membantu meraka. Ki Wanakarta ibarat seorang bomoh atau pawang kerana orang ramai percaya beliau mampu untuk menyatakan tentang hal yang berkaitan wanita yang sesuai untuk dijadikan calon isteri hanya berdasarkan tarikh kelahiran seseorang wanita itu.

            Nurwitri mendekat ke depan, bertanya dengan lembut dan menarik hati, “Wahai Kiai, permohonan saya semoga berkenan di hati, mohon diberitahu mengenai firasat orang berdasarkan hari kelahiran tadi. Oleh karena saya belum menikah, besok jika sudah punya niat dapat mencari yang baik. jika kekurangan waktu, hati telah menerima, karena telah mengetahui.”
            Ki Wanakarta berkata lembut, “Anakku permintaanmu itu sangat baik, orang muda harus menetapi kewajibannya, yang tua memberikan berkat secukupnya supaya baik. Ada permintaan Hyang Agung kepada para Pujangga supaya menulis tentang firasat manusia. Karena laki-laki itu mendapat pahala atas bantuan wanita. Firasat manusia itu keluar dari waktu kelahirannya. Apabila kelahirannya Jumat Pon, ia tidak sabar, kaku budinya, sangat berani kepada orang tua, dan tidak diberi kekayaan. Kelahiran Jumaat Wage, kalau baik akan sangat baik (utama), jika jahat ia jahat sekali, suka makan tetapi pandai berbicara tentang ilmu kebatinan, senang berbuat jahat, tidak tetap pikirannya, jika masih baru memuji-muji, jika sudah lama menjahati. Yang lahir Jumat Wage kadang-kadang halangannya jarang mempunyai anak, tetapi sering mendapat harta dan dilimpahi rezeki iblis (tidak halal). Kelahiran Jumat Kliwon baik dijadikan istri, pikirannya sederhana, berbakti kepada orang tua, tetapi agak berani kepada orang laki-laki, dilimpahi kekayaan dan rezeki. Teka pati (?) kepada suami, menurut kepada nasihat mertua yang baik, tahan mengurangi makan dan minum, bahayanya orang ini kalau bertengkar berkepanjangan. Jumat Legi, yang jelas bersuami dua kali, pikirannya goyah tidak mantap, tidak berpendirian. Sudah ditakdirkan harus menikah dua kali. Sifatnya yang tidak baik, penyelewengan sering menjadi-jadi, tetapi kehendak tuhan, ia akan cerai mati dengan suaminya. Kalau jahat sangat jahat, kalau baik sangat baik. Kelahiran Jumat Pahing, tidak malu, suka minta-minta, tidak bersahaja, lahirnya berbuat baik, jarang yang lurus hati, tetapi kalau sudah ditakdirkan jodohnya, terimalah sebagai kehendak Tuhan. (246:1-13)”
(Centhini Tambangraras-Amongraga Jilid 3:277)

Merujuk kepada petikan, menunjukkan bahawa masyarakat dahulu mempercayai perkara yang diberitahu oleh tukang ramal atau tukang tilik. Sekiranya mereka ingin memiliki sesuatu maka masyarakat dahulu akan merujuk kepada tukang ramal atau tilik ini. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai ilmu firasat atau dapat mengetahui hal-hal yang baik atau buruk tentang masa depan. Sebagaimana yang terdapat di dalam sebahagian petikan karya Serat Centhini ini, iaitu Nurwitri mewakili anaknya iaitu Hyang Agung bertanyakan mengenai bakal isteri anaknya yang sesuai untuk dijadikan surinya. Oleh itu, tukang ramal atau  para Pujangga tersebut telah menyatakan isteri yang elok untuk dijadikan suri itu dapat dipilih berdasarkan hari kelahiran bakal isteri itu. Kemudian, para Pujangga itu, senaraikan kreateria yang berkaitan itu.
            Selain ilmu firasat, terdapat juga ilmu tasawuf yang hendak disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam karya Serat Chentini ini. Penekanan ajaran agama Islam di Serat Centhini adalah ilmu tasawuf iaitu suatu sikap berserah diri secara total kepada kehendak Allah SWT melalui tahap pendalaman ilmu syariat, tarikat, hakikat, makrifat. Pengetahuan spriritual Jawa seperti Sastra Jendra Hadiningrat, sudah ada sejak sebelum kedatangan agama Islam. Ilmu tasawuf dalam agama Islam menemukan kemiripan dengan pengetahuan spiritual Jawa yang sudah ada.
            Antara contoh petikan yang menunjukkan pengarang menerapkan ilmu Tasawuf dalam penulisan karya Serat Centhini ialah:

            “syariat pertama adalah syariat Nabi Adam, berbunyi Asyhadu Allah Ilahailallah, asyhadu anna Adamu fitratallah”. Maksudnya, sungguh aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi Nabi Adam utusan Allah.”
                                                                                    (halaman 222: jilid 1)

            “syariat kedua ialah syariat nabi Nuh, berbunyi ‘AsyhaduAllah Ilahailallah Wa Asyadu anna Nuh Khalifatullah’. Yang bermaksud sungguh aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa nabi Nuh adalah wakil Allah.”
                                                                                    (halaman 223: jilid 1)

            “syariat ketiga ialah syariat Nabi Ibrahim, iaitu ‘Asyhadu Allah Ilahailallah wa asyhadu anna Ibrahim Khalilullah.’Maksudnya, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Ibrahim adalah sahabat Allah.”
                                                                                    (halaman 223: jilid 1)

            “syariat keempat ialah, syariat nabi Musa, berbunyi ‘Asyhadu Allah Ilahailallah, asyhadu anna Musa Kalamullah’. Maksudnya, aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Musa adalah kawan sabda Allah.”
                                                                                    (halaman 224: jilid 1)
           
“Syariat kelima adalah syariat Nabi Isa, berbunyi ‘Asyhadu Allah Ilahailallah, Asyhadu anna ‘Isa Rahullah’’. Ertinya, aku bersaksi sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi Nabi Isa adalah anak Anak Allah.”
                                                                                    (halaman 224: jilid 1)

            “Syariat keenam ialah syariat yang terakhir, iaitu ‘Asyhadu Allah Ilahailallah Wa Asyhadu Anna Muhammad Rasulullah. Yang bermaksud, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”
            “Syariat keenam ini ialah syariat yang terakhir, yang mana Nabi Muhammad s.a.w merupakan utusan utama di dunia dan sesudah Muhammad, tiada Nabi lagi sehingga sekarang”
                                                                                    (halaman 225: jilid 1)

Selain itu, dalam bidang tasawuf, Serat Centhini sering menyebut tiga kitab, iaitu: Kitab Ulumudin, Akidah dan Insan Kamil.[8]
Kitab Ulumudin adalah kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn karya Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali. Kitab Akidah tak lain adalah kitab Hidâyah al-Adhkiya karya Zain al-Din ‘Ali al-Malibari yang ditulis dalam bentuk sajak pada tahun 1509. Kedua kitab tasawuf ini mengajarkan tasawuf yang bersifat ortodoks, dalam arti tetap membedakan makhluk dan Pencipta serta lebih menekankan pada syariah. Kitab Insan Kamil cukup dikenal di masyarakat Jawa karena ajarannya yang sesuai dengan kepercayaan Jawa asli, “iaitu manunggaling kawulo lan gusti”.



PRINSIP KETIGA: BERBAHASA UNTUK TUJUAN IBADAT ATAU MENTAUHIDKAN ALLAH S.W.T

Terdapat pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Tuhan selaku pencipta dunia ini. Sebarang pekerjaan yang disertakan dengan niat kerana Allah merupakan salah satu cara kita beribadat kepada Allah selain menunaikan solat fardhu, puasa dan sebagainya. Berbahasa juga merupakan sebahagian daripada cara untuk kita beribadat. Menurut Rashid Md Idris (2012:72), komunikasi yang berkesan melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya. Terdapat tiga jenis hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Allah S>W>T (hablum minallah), hubungan antara manusia dengan manusia (habllum minanns) dan hubunga dengan alam sekitar. Hubungan manusia dengan pencipta-Nya dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Tuhan dilihat sebagai tunjang kepada segala proses komunikasi yang berlaku. Jenis hubungan ini juga dilihat melibatkan dua perkara utama, iaitu duniawi dan ukhrawi selaras dengan syariat agama Islam itu sendiri. Keseimbangan antara kedua-dua perkara itu  mempengaruhi kehidupan seseorang yang lebih baik dan bertamadun.
Berbahasa dikatakan beribadat apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat. Jelas bahawa berbahasa yang perlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:73) menyatakan bahawa terdapat empat jenis komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Komunikator yang berkesan dan selari dengan agama Islam dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayan yang mendalam terhadap keempat-empat jenis komunikasi tersebut. Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang istimewa berbanding makhluk yang lain kerana akal dianugerahkan kepada mereka.  Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran dan keesaan Allah S.W.T.  Oleh sebab itu, manusia digelar sebagai komunikator yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang luar biasa semasa proses berbahasa atau berkomunikasi berlaku.
Dalam perjalanan Jayengsari dan Rancangkapti ke Sokayasa di kaki Gunung Bisma banyumas. Dalam perjalanan itu, mereka berdua mendapatkan pengetahuan megenai adat istiadat tanah jawi, syariat para nabi, kisah Sri Sadana, pengetahuan mengenai wudu’ dan solat, pengetahuan tentang zat Allah, sifat, asma-Nya, sifat dua puluh, Hadis dan lain-lain lagi. Dalam Serat Centhini, Islam tidak dipandang sebagai unsur eksterneal yang membebani unsur lokal, bahkan pertentangan antara kedua dunia tersebut iaitu Islam dan Jawa. Aspek tauhid dalam karya agung Serat Centhini dapat dilihat daripada petikan-petikan karyanya yang berikut:

Setelah lama menetap di Blambangan, Seh Walilanang berdatang sembah kepada raja, mohon agar raja berkenan memluk agama Islam, mematuhi syariat nabi terpilih. Raja menolak. Seh Walilanang kecewa dan meninggalkan istana pada waktu malam.
                                                                            (Halaman 2, Jilid 1)
 

Beliau sedang bersemadi dengan bersungguh-sungguh, terperanjat melihat keris berlumuran darah. Sunan Giri sangat menyadari kelemahan dirinya, segera memanjatkan doa kepada Tuhan, “Semoga Allah mengampuni perbuatan hamba yang salah”.
                                                                                           (Halaman 6, Jilid 1)

KESIMPULAN

Karya agung dunia Melayu membawa tafsiran kepada karya agung Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Walau bagimanapun banyak terdapat karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung antaranya I La Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis dan Serat Chentini yang ditulis dalam bahasa Jawa. Menurut takrif Yayasan, karya-karya agung ini boleh disesuaikan dan boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu. Karya-karya seperti ini boleh dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan yang dimasukkan ke dalam rancangan yayasan.

            Pelbagai usaha yang melibatkan penterjemahan karya ini kepada bahasa-bahasa lain. Sebenarnya usaha-usaha tersebut memperlihatkan betapa pentingnya berbahasa kerana dapat menyampaikan idea atau perasaan seseorang itu. Ternyata bahawa dengan berbahasa, seseorang itu dapat mengajar atau memberitahu sesuatu kepada masyarakat. Hal ini dapat dilihat dalam Serat Centhini apabila menceritakan kisah keunikan kebudayaan tanah Jawa pada zaman dahulu.

            Walaupun Serat Centhini dikatakan sebuah kitab yang mengajarkan perihal seks versi Jawa namun kenyataan ini telah ditentang hebat kerana teks ini lebih kepada ensiklopedia kebudayaan Jawa. Teks ini memberi sumbangan dalam menggambarkan peranan berbahasa yang sangat besar kerana sebahagian daripada keadaan masyarakat Jawa dapat ditelurusi secara mendalam oleh masyarakat lain yang ingin mengetahuinya. Jelas bahawa, ketiga-tiga prinsip bahasa yang dibincangkan di atas menggambarkan kepada kita bahawa berbahasa merangkumi kemahiran tatabahasanya, berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar dan akhirnya kembali semula kepada Allah dalam mentauhid-Nya.